Jaguh Muay Thai Malaysia, Johan Ghazali mendedahkan beliau sebenarnya ingin bertarung buat kali kedua dengan jaguh Lubnan, Ramadan Ondash.
Perkara ini didedahkan Johan dalam satu hantaran video baru-baru ini. Jaguh yang mesra disapa Jojo itu mengakui itu satu-satunya pertarungan semula yang dimahukan beliau.
Pada masa sama, Johan menghormati kemahuan Ondash jika jaguh Lubnan itu enggan bertarung dengannya buat kali kedua.
“Itu satu-satunya pertarungan semula yang saya nak. Saya cakap dengan ONE Championship, ‘Bagi siapa-siapa yang nak.’
“Itu yang dapat Diego Paez dan (Johan) Estupinan. Itu yang mereka bagi, saya tak pernah tolak. Insya Allah tak lama lagi kalau beliau nak.
“Tapi kalau orang sudah tak nak itu, tak boleh paksa kan,” katanya dalam satu hantaran TikTok Fighter.
Selepas berjaya mengalahkan Paez, Johan kini mengalihkan fokus kepada pertarungan menentang Johan Estupinan pada 11 Disember ini.


