‘Surat Amaran’ Buat Pasukan Singapura
MakanBola
FA Singapore

Kumpulan penyokong Singapura, Singa Brigade tampil dengan satu ‘surat amaran’ buat skuad kebangsaan selepas mereka diaibkan Malaysia menerusi kekalahan 0-6 dalam aksi terakhir Kumpulan A FIFA ASEAN Cup 2026 di Bandung, Indonesia.

Menerusi satu hantaran di laman Instagram, Singa Brigade menyifatkan kekalahan tersebut sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima, lebih-lebih lagi ia berlaku ketika Singapura berdepan seteru tradisi mereka, Malaysia.

Kumpulan penyokong itu turut menegaskan mereka boleh menerima kekalahan, namun bukan dengan cara yang ditampilkan Singapura ketika berdepan Harimau Malaya. Malah, mereka mendakwa pasukan mula hilang semangat selepas Malaysia meledak gol ketiga.

“Kami boleh menerima kekalahan kepada sesiapa sahaja. Kami tidak boleh menerima cara kita tewas seperti malam tadi (bertemu Malaysia). Pada kedudukan 0-2, kami masih melihat sedikit semangat untuk melawan, tetapi selepas bolos gol ketiga, anda menyerah. Kesemua enam gol itu adalah kesilapan amatur. Ia tidak boleh diterima,” tegas Singa Brigade di laman Instagram.

Lebih membimbangkan Singa Brigade, kekalahan besar itu hadir kurang daripada 100 hari sebelum Singapura menghadapi saingan AFC Asian Cup 2027. Mereka memberi amaran bahawa persembahan seperti itu tidak cukup untuk membawa pasukan bersaing di pentas lebih besar.

Bagaimanapun, Singa Brigade menegaskan sokongan mereka terhadap skuad kebangsaan tidak akan berubah meskipun kecewa dengan persembahan yang dipamerkan. Mereka mengakui akan terus berada di belakang pasukan dalam setiap keadaan, termasuk ketika berdepan kekalahan dan kritikan.

“Kita kini kurang daripada 100 hari sebelum AFC Asian Cup 2027. Berdasarkan persembahan ini, kita adalah anak biri-biri yang disembelih, bukan singa. Beberapa perlawanan yang baik tidak menjadikan anda pasukan yang bagus.

“Sokongan kami ada dan akan sentiasa ada tanpa syarat. Kami telah bersama pasukan melalui setiap kekalahan dan setiap keraguan, dan kami akan terus hadir memberikan sokongan,” jelas kumpulan itu.

Kekalahan 0-6 itu sememangnya mengecewakan buat Singapura, namun mereka perlu segera bangkit dan mengambil pengajaran daripada aksi tersebut. Dengan cabaran lebih besar menanti, pasukan Singapura kini perlu menunjukkan reaksi positif serta membuktikan bahawa kekalahan di Bandung itu tidak akan berulang lagi.