Media Vietnam Bimbang Ancaman Bergson
MakanBola
Malaysia National Team

Media Vietnam dilihat bimbang dengan ancaman penyerang berbisa Harimau Malaya, Bergson da Silva menjelang aksi penentuan tempat ketiga FIFA ASEAN Cup antara kedua-dua pasukan itu.

Portal TheThao247 melaporkan Bergson pada awalnya berpotensi terlepas aksi penentuan tempat ketiga kerana mengutip dua kad kuning. Satu kad kuning direkodkan ketika menentang Bangladesh dan satu lagi direkodkan ketika menentang Singapura.

Peraturan kejohanan membabitkan kad kuning menyatakan pemain yang mengutip kad kuning dalam dua aksi berbeza perlu menjalani penggantungan.

Meskipun begitu, pada masa sama, kad kuning yang direkodkan dalam aksi pertama akan terhapus selepas aksi kedua kumpulan kejohanan.

Ini bermakna kad kuning yang dikutip Bergson ketika menentang Bengal Tigers tidak lagi dikira dan beliau hanya memiliki satu kad kuning. Justeru, penyerang berbisa Johor Darul Ta’zim (JDT) itu boleh diturunkan dalam aksi menentang Vietnam.

Selepas meraih penampilan pertama ketika menentang Bangladesh, Bergson sudah menjaringkan empat gol. Ini termasuk hatrik yang dilakar dalam kemenangan besar 6-0 ke atas musuh tradisi, Singapura baru-baru ini.

Justeru, kehadiran Bergson dijangka memberi cabaran buat penjaga gol Vietnam, Patrik Le Giang menjelang aksi penentuan tempat ketiga pada 5 Oktober ini.