Malaysia terlepas peluang layak ke Piala Asia Bawah 17 Tahun (B-17) 2027 apabila diikat tanpa jaringan dengan India.
Selepas Palestin mengalahkan Singapura 3-2 dalam aksi terakhir Kumpulan E, anak buah Shukor Adan perlu menang ke atas India dengan kelebihan tiga gol.
Ini kerana jika Malaysia menang, skuad muda negara akan terikat sembilan mata dengan Palestin dan India. Pasukan yang layak akan dikira dari segi rekod pertemuan sebelum disusuli dengan perbezaan gol tiga pasukan yang terikat.
Jika senario ini terjadi, Malaysia dilihat memiliki kelebihan kerana memiliki kelebihan gol berbanding India dan Palestin.
Sebaik wisel bermula, anak buah Shukor mengasak benteng India untuk memburu jaringan awal. Ini memaksa India bekerja keras menyerap setiap asakan tuan rumah.
Peluang terbaik Malaysia hadir pada minit ke-60 menerusi Muhammad Harraz Ajwad. Malangnya, percubaan pemain pertahanan muda negara itu gagal membuahkan hasil.
India yang dibimbing Mehrajuddin Wadoo terus kental menyerap tekanan kem Malaysia sehingga wisel penamat.
Keputusan 0-0 menyaksikan Malaysia bukan saja terlepas peluang layak ke Piala Asia B-17. Malah, anak buah Shukor menamatkan kempen kelayakan di tangga ketiga Kumpulan E.
India pula merealisasikan misi sebagai juara kumpulan sekali gus layak ke Piala Asia B-17 berturut-turut. Sebelum ini, India juga layak ke Piala Asia B-17 2026.


