JDT Kekal Unggul Di Rantau ASEAN
MakanBola
Johor Southern Tigers

Johor Darul Ta’zim (JDT) terus kekal menjadi kelab nombor satu di rantau Asia Tenggara.

ASEAN Football melaporkan kemas kini terbaru Opta Analyst menunjukkan JDT kekal di tangga pertama dengan markah 80.6. Harimau Selatan memiliki jurang enam mata berbanding musuh tradisi, Buriram United yang menduduki tangga kedua.

Persib Bandung melengkapkan kelompok tiga pasukan teratas ASEAN dengan markah 74.2. Meskipun berkongsi 74 mata dengan Buriram, kelab gergasi Thailand itu mendahului dengan kelebihan 0.4 mata.

JDT sukar dicabar di kemuncak susulan prestasi baik mereka bukan saja dalam liga domestik tetapi juga di pentas Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).

Kelab gergasi Lembah Klang, Selangor FC berada dalam senarai 10 pasukan teratas rantau ASEAN. Anak buah Kim Pan-gon itu berada di tangga keenam dengan 71 mata.

Selangor mengatasi beberapa kelab hebat yang berada dalam senarai sama. Antaranya Lion City Sailors (LCS), Persija Jakarta, Borneo FC dan Ratchaburi FC.

Satu lagi wakil negara, Kuching City FC turut berada dalam kelompok 25 kelab teratas ASEAN. Pasukan yang dibimbing Aidil Sharin Sahak itu menduduki tangga ke-22.