Dua senario berpotensi melayakkan skuad Malaysia Bawah 16 Tahun (B-16) layak ke Piala Asia B-17 2027.
Senario-senario ini dikongsikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Dua senario ini timbul selepas Malaysia berpesta gol menewaskan Guam 10-0 dalam aksi terbaru Kumpulan E pada 17 November lalu.
Kini, anak buah Shukor Adan akan turun menentang India untuk aksi terakhir kumpulan pada 20 November ini. Kedua-dua senario menyaksikan Malaysia bukan saja perlu menewaskan India tetapi dengan jumlah gol yang spesifik.
Senario pertama menyaksikan Malaysia perlu menewaskan India dengan kelebihan tiga gol sekiranya Palestin berjaya menewaskan Singapura. Jika perkara itu berlaku, Malaysia, India dan Palestin masing-masing berkongsi sembilan mata.
Maka, kedudukan juara bakal ditentukan oleh rekod pertemuan tiga pasukan terikat. Ketiga-tiga pasukan memiliki mata sama iaitu tiga mata.
Lantas, kedudukan juara akan ditentukan menerusi perbezaan jaringan tiga pasukan yang terikat. Malaysia memiliki kelebihan dengan satu gol, India (sifar gol) dan Palestin (-1).
Senario kedua pula berlaku seandainya Palestin tewas atau seri dengan Singapura. Jika perkara itu berlaku, Malaysia hanya perlu menewaskan India sekurang-kurangnya dengan satu gol.
Kedua-dua pasukan akan terikat sembilan mata dengan kedudukan juara ditentukan menerusi rekod pertemuan sesama pasukan terikat. Malaysia bakal memiliki kelebihan kerana memiliki tiga mata berbanding India (sifar).
Dua senario ini menunjukkan peluang Malaysia layak ke Piala Asia B-17 masih lagi terbuka. Justeru, kehadiran para penyokong di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada 20 November ini ditagih untuk membantu skuad muda negara layak ke kejohanan berprestij itu.


