Malaysia mencatatkan kemenangan kedua dalam aksi Kelayakan Piala Asia Bawah 17 (B-17) selepas menewaskan Guam pada Selasa.
Malaysia yang dibimbing Shukor Adan turun dengan kesebelasan berbeza dengan penjaga gol, Airil Ridzman diturunkan buat pertama kali dan Fareez Danial Fadzly kekal memakai lilitan kapten.
Manakala Guam pula mempertaruhkan Joseph Paul Palomo sebagai benteng terakhir pasukan.
Malaysia memulakan aksi dengan positif melalui beberapa gerak serangan merbahaya ke kubu Guam dan tidak menunggu lama untuk mendapatkan jaringan pertama melalui ledakan Nur Azam Muslim pada minit ke-8.
Kedudukan 1-0 itu hanya bertahan 5 minit selepas Brian Felix menanduk masuk gol kedua selepas menyambar hantaran lintang jauh dari rakan sepasukan sekali gus mengubah kedudukan menjadi 2-0 memihak Malaysia.
Pada minit ke-21, giliran Muzakif Fitri pula mencipta nama sebagai penjaring melalui rembatan deras kaki kanan untuk menjadikan kedudukan berubah kepada 3-0.
Malaysia meneruskan asakan ke kubu Guam yang bergelut mengekang kepantasan pemain-pemain muda Malaysia.
Muzakif Fitri sekali lagi menceriakan kem Malaysia apabila meledak gol keempat pada minit ke-34. Kesilapan penjaga gol Guam yang gagal menampan kemas hantaran lintang dari sebelah kanan pantas dihukum, sekali gus menyaksikan Malaysia terus mengganas dengan mendahului 4-0.
Malaysia terus mengganas dengan dua jaringan pantas yang terhasil dalam tempoh beberapa saat sahaja. Shah Haqiqullah menambah derita Guam menerusi jaringan pada minit ke-40, sebelum Brian Felix pula mencuri tumpuan dengan meledak gol keenam tidak lama selepas itu. Harimau Malaya semakin garang, kini selesa mendahului Guam 6-0.
Malaysia terus berpesta gol apabila Fazryel Ashraf menambah jaringan ketujuh pada minit ke-43 selepas mengambil kesempatan daripada situasi kelam-kabut di hadapan pintu gol Guam.
Ketika aksi separuh masa pertama hampir ditamatkan, Fazryel Ashraf meledak gol peribadi keduanya pada minit ke-45 selepas mengawal kemas hantaran rakan sepasukan sebelum melepaskan rembatan untuk gol kelapan Malaysia. Harimau Malaya menutup babak pertama dengan mendahului Guam 8-0.
Bersambung babak kedua, Malaysia meneruskan membuat beberapa pertukaran dalam usaha menambah jaringan seterusnya.
Fazryel hampir mencatatkan hatrik pada minit ke-61 namun rembatannya melepasi gawang gol.
Pemain gantian, Haziq Shakirin menambah derita Guam apabila meledak gol kesembilan Malaysia pada minit ke-65 selepas menyudahkan hantaran menarik daripada Aqif Syameel, sekali gus melebarkan jurang jaringan kepada 9-0.
Ketika perlawanan hampir ke penghujung, Fazryel Ashraf melengkapkan hatrik peribadinya menerusi jaringan kesepuluh Malaysia pada masa kecederaan, sekali gus mengesahkan kemenangan bergaya Harimau Malaya 10-0 ke atas Guam


