Nama bekas jurulatih Vietnam, Park Hang-seo kembali menjadi sebutan dalam kalangan peminat bola sepak ASEAN.
Stadium Astro melaporkan nama beliau kembali timbul selepas jurulatih Kanchanaburi Power itu cuba masuk ke padang untuk bersemuka dengan pengadil, Rangsan Kangchainguan.
Hang-seo tidak berpuas hati dengan kualiti pengadilan Rangsan selepas pasukannya diikat 1-1 dengan Muang Loei United dalam aksi terbaru Thai League 2.
Cubaan jurulatih veteran Korea Selatan itu untuk bersemuka dengan pengadil tersebut segera dihalang staf kejurulatihan Kanchanaburi dan pegawai keempat perlawanan.
Hang-seo kemudiannya pergi ke terowong stadium dan membidas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Muang Loei, Nattakorn Pattanachaikul dan penilai pengadil, Sakchai Paebua berhubung kualiti pengadilan.
Susulan itu, pengelola liga memohon pihak polis mengiringi pasukan pengadilan perlawanan itu dan menghalang jurulatih Kanchanaburi daripada menghampiri mereka.
Hang-seo kemudiannya menyatakan rasa kecewa berhubung kualiti pengadilan Thai League 2. Sekiranya situasi itu berlarutan, beliau melihat situasi itu boleh memberi kesan kepada perkembangan bola sepak Thailand.
“Saya bukan bercakap soal menang atau kalah, tetapi apabila pengadil bertindak sebegini, ia merosakkan segala-galanya. Segala titik peluh, kerja keras, semangat dan masa yang dilaburkan — semuanya sia-sia begitu sahaja.
“Saya boleh sahaja letak jawatan maka tamatlah ceritanya. Tetapi adakah begini cara anda menguruskan bola sepak? Ia tidak akan pernah berkembang dengan cara sebegini.
“Jika saya benar-benar meletak jawatan, saya akan meluahkan pandangan saya secara terbuka mengenai bola sepak Thailand. Pengadil perlu menjalankan tugas mereka dengan hati nurani yang bersih,” katanya.
Selepas mendengar reaksi Hang-seo, Nattakorn mengakui rasa kecewa dengan tindak-tanduk bekas jurulatih Vietnam itu.
“Pada pandangan saya, pihak Kanchanaburi sendiri turut melengahkan masa dalam beberapa situasi. Begitulah lumrah bola sepak. Mustahil untuk semua pihak mendapatkan apa yang mereka hajati apabila wisel penamat dibunyikan,” ujarnya.
Keputusan ini menyaksikan Kanchanaburi kini di tangga keenam Thai League 2 dengan 10 mata. Hang-seo dibawa masuk sebagai jurulatih untuk musim 2026/27 dengan misi membawa pasukan itu kembali ke Thai League 1.