Park Hang-seo Kembali Hangatkan Asia Tenggara
MakanBola
Vietnam FF

Selepas tiga tahun menyepi, nama jurulatih Korea Selatan, Park Hang-seo kembali menghangatkan arena bola sepak Asia Tenggara.

Nama Hang-seo cukup sinonim dengan Vietnam. Sepanjang lima tahun membimbing pasukan itu, Vietnam bukan saja menjadi antara kuasa bola sepak rantau Asia Tenggara yang disegani.

Malah, Hang-seo turut membantu Pahlawan Bintang Emas melakar pelbagai pencapaian di peringkat antarabangsa. Antaranya trofi ASEAN Championship 2018 dan pingat emas Sukan SEA edisi 2019 dan 2021.

Hang-seo turut membantu Vietnam mara ke peringkat suku akhir Piala Asia 2019. Kemaraan mereka kemudiannya disekat naib juara kejohanan edisi tersebut, Jepun dengan kekalahan 1-0.

Pencapaian hebat Hang-seo menjadikan namanya sentiasa dikaitkan dengan kerusi panas kejurulatihan baik di peringkat kelab mahupun antarabangsa. Antaranya Korea Selatan, China, Thailand, India, Kemboja dan Ulsan HD.

Malah, pada satu ketika, jurulatih berusia 68 tahun itu juga pernah dikaitkan dengan kerusi panas Harimau Malaya. Perkara ini pernah dikongsikan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Haji Hamidin Mohd Amin.

Hang-seo dilaporkan antara calon jurulatih yang diintai badan induk itu selepas rakan senegara beliau, Kim Pan-gon meletak jawatan pada pertengahan tahun 2024.

Selepas meninggalkan Vietnam pada 2023, Hang-seo memilih fokus kepada tugas sebagai penasihat kelab divisyen tiga Vietnam, Bac Ninh. Kepakaran beliau turut ditagih Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA) apabila dilantik sebagai naib presiden badan induk itu pada 2025.

Kini, nama Hang-seo kembali menjadi sebutan apabila sah mengemudi kelab Thailand, Kanchanaburi Power FC. Beliau bukan saja diberi misi membawa pasukan itu kembali ke Thai League 1 musim 2027/28.

Malah, Kanchanaburi berharap beliau menjadi sebahagian daripada projek jangka panjang kelab itu untuk melahirkan lebih ramai pemain di wilayah berkenaan.