Jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain mendedahkan pasukan itu gagal menyempurnakan penalti ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) kerana pemain berbeza mengambilnya.
Selepas ketinggalan 2-0 menerusi gol penyerang kebangsaan, Bergson da Silva dan Oscar Arribas, Terengganu mendapat talian hayat pada separuh masa kedua. Pasukan itu dianugerahkan sepakan penalti susulan kekasaran ke atas pemain tuan rumah dalam kotak penalti.
Walau bagaimanapun, penalti yang diambil pemain sayap Brazil, Mateusinho berjaya ditepis penjaga gol kebangsaan, Syihan Hazmi Mohamed. JDT kemudiannya menambah satu lagi gol menerusi Shahab Zahedi untuk meraih kemenangan 3-0.
Apabila ditanya tentang perkara itu, Nafuzi menjelaskan kebiasaannya, penalti Peteh diambil penyerang Curacao, Gervane Kastaneer. Bekas penyerang Persis Solo itu kemudiannya memaklumkan beliau memberi peluang kepada Mateusinho mengambil penalti.
Nafuzi memuji sikap Kastaneer yang sentiasa mengutamakan semangat berpasukan. Pada masa sama, beliau percaya situasi mungkin berbeza sekiranya penalti itu berjaya disudahkan.
“Sebelum ini Kastanierlah yang ambil penalti. Jadi, sebelum itu saya pun sudah tanya Kastanier. Saya tanya dia tak ambil penalti ke, dia cakap Mateusinho minta untuk ambil dan dia pun bagi Mateusinho ambil (penalti). Kalau dia setuju, saya setujulah dan mungkin di situ Mateusinho pun mempunyai keyakinan untuk untuk mengambil penalti.
“Itu diskusi dengan pemainlah kan tapi sebenarnya Kastanier yang sepatutnya (ambil penalti). Saya pun sudah cakap dengan dia, dia pun baik. Itu semangat berpasukan ditunjukkan oleh Kastanier tapi sia-sia dapat diselamatkan (Syihan).
“Jadi, situ saya rasa agak kecewa mungkin boleh mengubah situasi keputusan malam ini. Saya rasa terutama dari segi moral, suntikan semangat untuk kita lagi di samping kita bertahan lagi akan menambah lagi suntikan (semangat),” katanya selepas perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Terengganu jatuh ke tangga kesembilan liga dengan lima mata. Pasukan itu turut merekodkan satu kemenangan, dua keputusan seri dan dua kekalahan.
Selepas ini, anak buah Nafuzi akan berdepan Sabah FC di Stadium Likas pada 31 Oktober ini.