Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan rentak cemerlang dalam saingan Liga Super 2026/2027 apabila berjaya menundukkan Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.
Terengganu yang dibimbing Nafuzi Zain mempertaruhkan gandingan dua pertahanan tengah import, Denis Ngweni dan Pape Diakite dalam usaha memperkukuh benteng pasukan sekali gus mengekang ketajaman jentera serangan JDT.
Sementara itu, JDT mempertaruhkan Bergson dan Jairo da Silva sebagai penggerak utama di jentera serangan, dengan sokongan Arif Aiman dan Oscar Arribas yang mampu menggunakan kepantasan mereka di bahagian sayap.
Aksi dimulakan dengan JDT mempamerkan penguasaan bola manakala Terengganu menunggu masa sesuai untuk melancarkan seranagan balas.
Hasil satu serangan balas, Terengganu hampir di hadapan menerusi percubaan Haziq Kutty yang berjaya melepasi perangkap dua pertahanan tengah namun percubaan pemain itu sedikit tersasar.
Serangan bertali arus serta dominasi JDT akhirnya membuahkan hasil apabila Bergson meletakkan Harimau Selatan di hadapan menerusi jaringan pada minit ke-25. Penyerang itu bijak melepasi perangkap ofsaid pertahanan Terengganu sebelum melepaskan rembatan kencang yang gagal diselamatkan penjaga gol, Suhaimi Husin, sekali gus memberikan JDT kelebihan 1-0.
JDT terus mengasak kubu pertahanan Terengganu dalam usaha menambah jaringan sebelum tamat separuh masa pertama. Usaha itu membuahkan hasil apabila Oscar Arribas menyudahkan peluang terhidang hasil sepakan percuma pantas yang diambil Jorge Medina pada minit ke-42, sekali gus melebarkan kelebihan Harimau Selatan kepada 2-0 sebelum kedua-dua pasukan menuju ke bilik persalinan.
Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan membuat satu pertukaran dengan JDT membawa masuk Corbin Ong bagi menggantikan Arribas manakala Terengganu mengeluarkan Denis Ngweni dan membawa masuk Habib Haroon.
Terengganu berpeluang merapatkan jurang pada minit ke-64 apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas Gervane Kastaneer dijatuhkan di dalam kotak penalti. Bagaimanapun, Mateus Gustavo gagal memanfaatkan peluang tersebut apabila sepakan yang diambilnya berjaya dibaca dan ditepis kemas oleh penjaga gol JDT, Syihan Hazmi.
Pemain gantian, Stoichkov hampir menambah jaringan buat JDT pada minit ke-82 namun peluang keemasan di hadapan gol tidak berjaya disudahkan.
Shahab Zahedi akhirnya melengkapkan malam sempurna buat JDT dengan jaringan ketiga pada minit ke-88 selepas pemain Iran itu menyudahkan hantaran Arif Aiman.
Keputusan 3-0 itu kekal sehingga wisel penamat dibunyikan, sekali gus menghadiahkan tiga mata berharga buat JDT di gelanggang lawan. Kemenangan tersebut menyaksikan Harimau Selatan meneruskan rentak cemerlang dengan merekodkan kemenangan keenam berturut-turut dalam saingan Liga Super musim ini. Manakala Terengganu pula terpaksa menelan kekalahan kedua mereka dalam liga setakat ini.