Jurulatih Malaysia B-17, Shukor Adan mengakui Palestin bukan lawan mudah buat anak buahnya menjelang aksi pembukaan Kelayakan Piala Asia B-17 2027 yang bakal berlangsung pada Ahad ini.
Beliau melihat kelebihan fizikal yang dimiliki pasukan Asia Barat itu sebagai antara cabaran yang perlu diberikan perhatian oleh pemain negara, namun menegaskan persiapan rapi menjelang perlawanan lebih penting untuk memastikan Malaysia mampu memberikan saingan.
Menurut Shukor Adan, barisan pemain negara sudah menjalani persiapan menerusi sesi analisis video bagi mendapatkan gambaran mengenai kekuatan pasukan Palestin sebelum kedua-dua pasukan bertemu.
“Aksi pertama menentang Palestin, para pemain kita juga sudah membuat persiapan menerusi sesi analisis video. Kita dapat lihat Palestin bukanlah pasukan yang mudah ditentang dan mereka mempunyai kelebihan dari segi fizikal.
“Namun, seperti yang saya katakan sebelum ini, bola sepak bukan sekadar tentang kekuatan fizikal. Persiapan pemain menjelang hari perlawanan, khususnya aksi pertama, merupakan perkara yang lebih penting,” katanya.
Dalam masa sama, Shukor turut mengingatkan pemain bahawa aksi pertama dalam sesuatu kejohanan lazimnya menjadi ujian sukar buat mana-mana pasukan, sekali gus menuntut mereka memberikan tumpuan sepenuhnya sepanjang 90 minit permainan.
Justeru, beliau berharap barisan pemain Malaysia dapat menterjemahkan segala persiapan yang sudah dilakukan kepada persembahan terbaik ketika turun berdepan Palestin.
“Kebiasaannya, perlawanan pertama merupakan aksi yang agak sukar bagi mana-mana pasukan. Jadi, saya berharap pemain-pemain dapat memberikan fokus sepenuhnya dan menampilkan aksi terbaik dalam perlawanan pertama nanti,” katanya.
Untuk rekod, Malaysia diundi dalam Kumpulan E Kelayakan Piala Asia B-17 bersama Palestin, India, Singapura dan Guam dengan kesemua perlawanan kelayakan berlangsung di laman sendiri.
Skuad negara bakal membuka tirai kempen menentang Palestin pada 8 November ini di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras dengan sepak mula dijadualkan berlangsung pada jam 9 malam.
Selepas itu, Malaysia akan meneruskan cabaran menentang Singapura pada 14 November, Guam (17 November) dan India (20 November) dalam usaha memburu satu-satunya slot automatik ke pusingan akhir menerusi Kumpulan E.
Ini kerana hanya tujuh juara kumpulan daripada keseluruhan tujuh kumpulan kelayakan akan memperoleh tiket ke Piala Asia B-17 2027 yang dijadualkan berlangsung di Uzbekistan pada Mei tahun depan.


