Cabaran skuad wanita Malaysia untuk menghadapi dua aksi persahabatan di Doha, Qatar diperkuatkan dengan kehadiran pemain Racing Power FC dari Amerika Syarikat (US), Aryssa Da’im Mahrt.
Penyertaan pemain berusia 24 tahun itu bukan saja diumumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Malah, kelabnya, Racing Power turut menyatakan rasa bangga melihat Aryssa dipilih mewakili Malayan Tigress.
“Pemain kita, Aryssa Mahrt telah dipilih mewakili skuad kebangsaan Malaysia. Kami mengucapkan selamat berjaya kepada anda untuk cabaran baru ini,” katanya di Instagram.
Lebih istimewa, Aryssa turut mengikut jejak moyangnya yang pernah mewakili skuad negara ketika Malaysia dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu pada 1946.
Mengikut keterangan ejen beliau, Hochberg SM, beliau pernah beraksi untuk skuad wanita Bawah 14 Tahun (B-14) dan B-16 US. Aryssa turut memiliki rekod baik sebagai peledak ketika mewakili University of Wisconsin.
Beliau kemudiannya memulakan karier profesional bersama Orlando Pride. Selepas menyertai Spokane Zephyr FC secara pinjaman, Aryssa kemudiannya berkelana ke Portugal dan beraksi untuk Racing Power.
Kelibatnya dijangka ditagih Nidzam Adzha Yusoff untuk dua aksi persahabatan menentang Arab Saudi pada 9 dan 13 Oktober ini.