Era Lionel Messi bersama Argentina secara rasmi berakhir.
Messi sah menggantung but dari arena bola sepak antarabangsa dengan bergaya apabila membantu La Albiceleste menewaskan Benin 3-0 dalam aksi persahabatan di Estadio Monumental.
Selepas meraih dua kemenangan besar ke atas Bolivia dan Burkina Faso, Argentina berharap dapat memberi hadiah perpisahan terbaik kepada legenda Barcelona itu.
Selepas terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama, Argentina tampil lebih kemas pada babak kedua. Menariknya, dua gol La Albiceleste terhasil menerusi dua bantuan gol Messi.
Bek tengah veteran, Nicolas Otamendi meletakkan Argentina di hadapan pada minit ke-48. Messi kemudiannya mencipta hantaran yang disudahkan Nico Paz pada minit ke-61.
Benin kemudiannya bernasib malang apabila tuan rumah dianugerahkan sepakan penalti. Messi tenang menewaskan penjaga gol Benin, Marcel Dandjinou untuk gol ketiga Argentina pada minit ke-71.
Keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Messi dipilih pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore dengan markah 8.5.
Messi menutup karier antarabangsanya bersama Argentina dengan 208 penampilan dan 126 gol. Antara trofi yang dijulang beliau bersama La Albiceleste ialah Copa Amerika sebanyak dua kali dan Piala Dunia 2022.