Kuching City FC kembali menghidupkan api perjuangan dalam Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) apabila menewaskan Gangwon FC di Stadium Taha Ariffin.
Kuching City sedar mereka perlu menang dalam aksi keempat Kumpulan H jika ingin terus bersaing dalam saingan ACL2. Jika mereka seri atau tewas, itu sudah cukup untuk menyingkirkan The Cats.
Meskipun beraksi tanpa tujuh pemain, itu tidak menghalang anak buah Aidil Sharin Sahak tampil garang pada separuh masa pertama.
Hasilnya, pemain sayap kebangsaan, Safawi Rasid meledakkan gol pendahuluan pada minit ke-13. Tujuh minit selepas itu, gawang pelawat dirobek Safawi buat kali kedua.
Dua gol itu memastikan Kuching City mendahului Gangwon 2-0 sehingga rehat separuh masa.
Bersambung selepas rehat, pelawat cuba bangkit dengan harapan dapat meraih sekurang-kurangnya satu mata di Stadium Taha Ariffin.
Walau bagaimanapun, keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Sofascore memilih Safawi sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.9.
Kemenangan ini dijangka menyuntik semangat Kuching City menjelang aksi separuh akhir kedua Piala FA menentang Selangor FC pada 8 November ini.


