Argentina meneruskan kempen persahabatan antarabangsa tanpa Lionel Messi dengan membelasah Burkina Faso dalam aksi persahabatan di Estadio Monumental.
Selepas membelasah Bolivia 4-0 baru-baru ini, anak buah Lionel Scaloni mahu membuktikan Argentina kekal berbisa tanpa kapten dan legenda pasukan berusia 39 tahun itu.
Lantas, Scaloni menurunkan barisan terkuat dengan Lautaro Martinez dan Julian Alvarez di bahagian serangan. Selepas berdepan masalah pengangkutan, Burkina Faso memilih menurunkan ramai pemain Bawah 23 Tahun (B-23) dalam aksi ini.
Argentina membuka tirai jaringan menerusi Martinez seawal minit keempat. Walaupun penalti beliau pada awalnya dinafikan penjaga gol Burkina Faso, Razack Guira, penyerang Inter Milan itu pantas menolak percubaan susulan untuk gol pertama tuan rumah.
Moumouni Diallo bernasib malang apabila menjaringkan gol sendiri empat minit selepas itu. Martinez kemudiannya menjadi pencipta gol dengan membuat hantaran yang disudahkan Gianluca Prestianni pada minit ke-12.
Nico Paz dan Alvarez menambah derita pelawat dengan masing-masing menyumbat gol pada minit ke-35 dan 36. Keputusan 5-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, Burkina Faso yang dibimbing Amir Abdou membuat beberapa perubahan dengan harapan dapat menyekat gawang mereka dirobek anak buah Scaloni.
Malangnya, gawang mereka bocor lagi pada minit ke-58 menerusi Franco Mastantuono. Mastantuono yang masuk menggantikan Alvarez menyudahkan hantaran Martinez.
Seorang lagi pemain gantian, Giuliano Simeone meledakkan gol ketujuh Argentina pada minit akhir perlawanan. Keputusan 7-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Sofascore memilih Prestianni sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 9.1. Selepas ini, Argentina bersiap sedia untuk aksi perpisahan buat Messi dengan menentang Benin pada 7 Oktober ini.