Pemain pertahanan San Diego FC, Kieran Sargeant mendedahkan beliau pernah menetap di Malaysia selama lima tahun.
Perkara ini dikongsikan dalam satu video temu bual kelab itu yang dimuat naik di platform YouTube baru-baru ini. Sargeant, 23, mendedahkan keluarganya menetap di Malaysia selama lima tahun disebabkan komitmen kerja bapanya dalam industri minyak dan gas.
“Bapa saya bekerja dalam industri minyak dan gas. Itulah kerja yang membawa kami (ke Malaysia) sebagai satu keluarga. Itulah tempoh saya rasa saya mula mengambil serius terhadap bola sepak.
“Sekolah yang saya pergi ialah sekolah antarabangsa, jadi mereka ada peluang menentang sekolah-sekolah antarabangsa lain di Asia Tenggara. Jadi, di sekolah ia menyeronokkan di mana saya dapat bermain bola sepak dan mewakili sekolah pada usia muda.
“Pada ketika itu, saya berusia antara lima atau enam tahun sehingga 11 tahun. Kemudian pada usia 11 tahun, saya berpindah semula ke Amerika Syarikat. Tapi itulah detik di mana bola sepak menjadi sukan kegemaran saya,” katanya.
Perkara ini turut disahkan jurulatih akar umbi Malaysia, Shazwan Wong. Selain menjadi sebahagian daripada generasi Little League Soccer, beliau juga menyebut Sargeant pernah dibimbing seorang lagi jurulatih bernama Craig Morraies.
Morraies memaklumkan bekas pemain Houston Dynamo itu cukup berbakat dan memiliki kaki kiri yang berbisa. Ini berdasarkan pengalamannya melatih Sargeant selama dua hingga tiga tahun.
Mengikut maklumat Diaspora Ballers, tempoh lima tahun beliau di Malaysia berpotensi melayakkan Sargeant mewakili skuad negara di bawah peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Beliau sudah merekodkan 29 penampilan, satu gol dan satu bantuan gol sejak bersama San Diego.


