Pemain sayap kebangsaan, Richard Chin terus menemui sentuhan gol selepas kembali bersama kelabnya, Ross County.
Selepas membantu Malaysia menewaskan Yemen pada 17 November lalu, pemain sayap berusia 24 tahun itu membantu Ross County menewaskan Cove Rangers 5-1.
Lebih menarik, Richard hanya memerlukan 15 minit untuk merobek gawang Cove Rangers selepas masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-67. Beliau meledakkan gol buat The Staggies pada minit ke-83.
Ini gol kesembilan Richard bersama Ross County dalam 25 penampilan. Beliau turut mencipta empat bantuan gol dalam semua kejohanan.
Adam Emslie, Ross Docherty dan seorang lagi pemain gantian, Ricco Diack turut mencetak nama sebagai penjaring. Miller Keir menyumbat gol saguhati buat pelawat di Dingwall.
Keputusan ini menyaksikan Ross County kekal di persada Scottish League One dengan 44 mata. Selain itu, anak buah Stuart Kettlewell juga masih belum tewas dalam liga setakat ini.
Selepas ini, Ross County akan mengharungi saingan Scottish Challenge Cup. Pasukan itu akan turun menentang Stenhousemuir pada 25 November ini.


