FAM

FAM Bakal Buat 3 Pengumuman Besar?

Jurulatih Malaysia NT FAM Bakal Buat 3 Pengumuman Besar?
Malaysia National Team

Tiga jawatan penting dalam struktur Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini menjadi perhatian menjelang penghujung November ini, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai individu yang bakal diberikan tanggungjawab untuk mengisi posisi berkenaan.

Advertisement

Perkara itu susulan perkongsian laman X, HarimauMYstats yang memberikan bayangan bahawa FAM bakal membuat pengumuman melibatkan tiga jawatan utama iaitu Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Ketua Jurulatih B-23 dan Pengarah Teknikal.

Bagi skuad senior, jawatan ketua jurulatih sebelum ini disandang Peter Cklamovski sebelum kontraknya ditamatkan secara persetujuan bersama pada Jun 2026.

Tan Cheng Hoe kemudiannya dilantik sebagai pengendali interim pada 25 Jun lalu dengan kontraknya bersama FAM dijadual berakhir pada 25 November ini.

Antara nama yang dikaitkan dengan jawatan tersebut ialah Bojan Hodak yang mempunyai pengalaman mengendalikan beberapa pasukan seperti Kelantan, Johor Darul Ta’zim (JDT), Kuala Lumpur City dan Persib Bandung, selain pernah membimbing skuad Malaysia B-19.

Bagaimanapun, setakat ini FAM masih belum mengumumkan secara rasmi individu yang bakal mengisi jawatan tersebut meskipun Presiden FAM, Datuk Ab Ghani Hassan sebelum ini memaklumkan proses pemilihan sudah memasuki peringkat akhir.

Sementara itu, jawatan Ketua Jurulatih B-23 negara pula masih belum mempunyai pengganti selepas kontrak Nafuzi Zain bersama FAM ditamatkan secara persetujuan bersama pada Jun lalu.

Nafuzi yang sebelum ini mengendalikan skuad muda kebangsaan kemudiannya kembali menggalas tanggungjawab bersama Terengganu, manakala pengendali baharu diperlukan bagi mempersiapkan pasukan menghadapi Sukan SEA 2027 yang bakal berlangsung di Malaysia.

Satu lagi posisi yang menjadi perhatian ialah Pengarah Teknikal FAM selepas Scott O’Donell dilaporkan bakal meninggalkan badan induk itu apabila kontraknya berakhir pada Disember 2026.

Perkembangan mengenai masa depan Scott itu turut mencetuskan laporan mengenai kemungkinan Datuk Ong Kim Swee kembali mengisi jawatan berkenaan, namun FAM menegaskan bahawa keputusan mengenai pengganti masih belum dimuktamadkan.

Dalam perkembangan berkaitan, Ab Ghani sebelum ini memaklumkan FAM menyasarkan pengumuman ketua jurulatih Harimau Malaya sebelum penghujung November atau selewat-lewatnya awal Disember.

Justeru, perhatian kini terarah kepada keputusan FAM dalam tempoh terdekat bagi mengetahui siapakah individu yang bakal mengisi ketiga-tiga posisi penting tersebut dalam usaha menentukan hala tuju pasukan kebangsaan.

Percuma untuk pembacaTnG Money Packet PercumaMenyemak Money Packet...
--baki
Memuatkan...