FAM

FAM Tunggu Penjelasan FIFA

FAM Logo Malaysia FAM Tunggu Penjelasan FIFA
FA Malaysia
Advertisements

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih menunggu jawapan rasmi daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

FAM dalam satu kenyataan pada 2 Oktober yang lalu memandang serius isu perubahan tempoh masa tambahan yang berlaku ketika perlawanan antara Indonesia dan Bangladesh dalam aksi Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.

Perlawanan tersebut juga menyaksikan tempoh masa tambahan berubah, tatkala pada awalnya ditunjukkan selama dua minit kemudiannya berubah kepada tujuh minit – tambahan lebih lima minit.

“FAM akan mengemukakan permohonan rasmi kepada FIFA bagi menjelaskan asas, prosedur dan keadaan yang membawa kepada perubahan tempoh masa tambahan tersebut.

“FAM ingin menegaskan bahawa pengurusan masa perlawanan merupakan aspek penting dalam memastikan setiap perlawanan berlangsung secara adil, telus dan selaras dengan peraturan pertandingan yang ditetapkan.

“Justeru, FAM menggesa FIFA supaya menjalankan penelitian terhadap insiden berkenaan dan memberikan penjelasan terperinci mengenai keputusan yang dibuat oleh pegawai perlawanan, termasuk sama ada perubahan tempoh masa tambahan tersebut telah dilaksanakan mengikut prosedur dan peraturan yang berkuat kuasa,” ujar kenyataan FAM.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Hj Rahman berkongsi perkembangan terbaru dengan memaklumkan bahawa pihaknya masih menunggu jawapan daripada badan induk bola sepak dunia itu.

“Kita (FAM) ada menghantar bantahan tetapi sehingga kini, kita masih belum menerima apa-apa jawapan dari FIFA.

“FAM akan melakukan tindakan susulan kepada FIFA untuk mendapatkan jawapan,” katanya ketika ditemui.

Pada masa sama, FAM ingin menegaskan bahawa permohonan ini bukan bertujuan untuk mempersoalkan keputusan perlawanan atau mempertikaikan pencapaian mana-mana pasukan, sebaliknya bagi mendapatkan penjelasan rasmi mengenai proses dan prosedur pengadilan bagi mengelakkan kekeliruan yang timbul.