Filipina gagal mencatatkan kemenangan pertama dalam saingan FIFA ASEAN Cup setelah diikat seri Pakistan pada perlawanan kedua pada Selasa.
Impian Filipina untuk bangkit dari kekalahan lalu selain memungut 3 mata pertama dikecewakan oleh Pakistan selepas kedua-dua pasukan terikat seri 2-2 meskipun wakil Asia Tenggara itu memperoleh kelebihan dua jaringan pada satu ketika.
Tonggak Selangor, Jefferson Tabinas dipilih selaku pertahanan kiri Filipina sambil dibantu Amani Aguinaldo sebagai ketua pasukan manakala Pakistan mempertaruhkan gandingan Ali Khan dan Umar Nawaz di jentera serangan.
Gol pertama Filipina berjaya dijaringkan oleh Sandro Reyes pada minit ke-25 setelah bintang muda itu bijak menyempurnakan peluang terhidang bagi menewaskan penjaga gol Pakistan dan meletakkan The Azkals di hadapan 1-0.
Selang 7 minit kemudian, giliran Bjorn Martin Christensen menambah gol kedua Filipina hasil penyudah cantik yang menyaksikan pasukan kendalian Carlos Quadrat memiliki kelebihan dua jaringan sebelum babak pertama ini berakhir.
Bersambung babak kedua, Pakistan berjaya mencetak gol pertama menerusi percubaan Ali Khan selepas dua minit separuh masa kedua berlangsung dan jaringan itu menjadi tonik semangat buat negara jemputan dari Asia Selatan itu.
Gawang Filipina bolos lagi apabila Abdul Arshad menyamakan kedudukan 2-2 di minit ke-62 selepas rembatan kencangnya berhasil membolosi pintu gol yang dikemudi oleh Kevin Mendoza sekali gus memberi keceriaan buat kem Pakistan.
Perlawanan berakhir dengan keputusan seri 2-2.
Ujian mencabar menanti Filipina untuk ke pusingan seterusnya apabila akan menentang Thailand dalam aksi terakhir Kumpulan B pada 2 Oktober ini manakala Pakistan dijadualkan turun bertemu Vietnam pada hari yang sama.