Gergasi Asia Tenggara, Vietnam, membuka kempen FIFA ASEAN Cup dengan langkah kanan apabila berjaya menundukkan Filipina dalam aksi pembukaan Kumpulan B.
Aksi sepak mula antara kedua-dua pasukan di Stadium Si Jalak Harupat terpaksa ditangguhkan selama beberapa minit susulan keadaan cuaca buruk yang melanda kawasan stadium sebelum pengadil memulakan perlawanan.
Kesebelasan utama Vietnam diketuai penyerang berpengalaman, Nguyen Xuan Son, yang diberi kepercayaan menyarung lilitan kapten pasukan, manakala Manuel Ott pula mengetuai barisan Filipina dalam aksi pembukaan tersebut.
Randy Schneider hampir membuka tirai jaringan buat Filipina pada minit ke-22, namun percubaannya menerusi rembatan kencang sekadar menggegarkan palang gol Vietnam.
Ketika Filipina sedang rancak melancarkan serangan, Vietnam pula berjaya memanfaatkan peluang yang hadir untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-25 menerusi Dinh Bac yang tenang menyudahkan peluang mudah untuk meletakkan pasukannya di hadapan.
Aksi separuh masa pertama akhirnya ditamatkan dengan Vietnam mendahului Filipina 1-0 selepas kedua-dua pasukan gagal menambah jaringan sehingga wisel rehat dibunyikan.
Bersambung di babak kedua, Filipina tampil lebih garang dengan melancarkan serangan bertali arus dan acap kali menguji pintu gol Vietnam. Namun, penjaga gol Vietnam, Patrik Le Giang, tampil cemerlang di gawang untuk menafikan beberapa percubaan berbahaya daripada barisan serangan Filipina.
Pada minit ke-74, Filipina berdepan detik cemas apabila Jesper Nyholm dilayangkan kad merah selepas didapati mengasari pemain Vietnam ketika lawan sedang memiliki peluang jelas untuk menjaringkan gol. Bagaimanapun, keputusan tersebut kemudian disemak menerusi VAR sebelum pengadil membatalkan kad merah berkenaan dan meneruskan perlawanan seperti biasa.
Kenji Nishioka sempat memberikan kegembiraan buat Filipina apabila berjaya meledak gol pada minit ke-82, namun jaringan tersebut tidak disahkan selepas pengadil membuat semakan VAR dan mendapati Nishioka berada dalam kedudukan ofsaid ketika gol itu dihasilkan.
Biarpun Filipina menguasai hampir keseluruhan permainan di babak kedua ini, namun tiada jaringan dapat dihasilkan sekali gus menamatkan perlawanan dengan keputusan penuh 1-0 memihak Vietnam.
Untuk aksi seterusnya, Vietnam bakal berdepan satu lagi gergasi Asia Tenggara, Thailand, pada 29 September depan, manakala Filipina pula akan menentang Pakistan pada tarikh yang sama.