Liga Super: DPMM Benam 10 Pemain Kuching City
MakanBola
DPMM FC

Hasrat Kuching City meraih tiga mata di Bandar Seri Begawan musnah apabila tewas kepada DPMM FC dalam aksi terbaru Liga Super.

Selepas diikat 1-1 dengan Kitchee dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2), anak buah Aidil Sharin Sahak berharap dapat bangkit dengan meraih kemenangan. DPMM pula mahu melebarkan rentak kemenangan selepas menewaskan Sabah dalam aksi liga sebelumnya.

Declan Lambert, Ryan Lambert dan Nazmi Faiz Mansor kembali berada dalam kesebelasan utama Kuching City. Dalberto Luan terus menjadi pilihan Jamie McAllister untuk merobek gawang pelawat.

DPMM pantas meraih gol pendahuluan seawal minit keenam. Dalberto berjaya mengatasi cabaran bek tengah kebangsaan, Rodney Celvin Akwensivie sebelum menanduk hantaran Farris Izdiham Awang Kechik menewaskan Haziq Nadzli.

Tersentak, Kuching City cuba memperkemaskan rentak untuk memburu jaringan penyamaan. Meskipun begitu, tekanan yang dibuat anak buah McAllister menyukarkan The Cats mencipta gerakan serangan yang menguji penjaga gol tuan rumah, Samuel Somerville.

Pelawat akhirnya meraih gol penyamaan menerusi pemain sayap Australia, Dylan Wenzel-Halls. Sepakan percuma bekas pemain Penang FC itu gagal disekat Somerville pada minit ke-28 sebelum menerjah jaring.

Kedua-dua pasukan berusaha mencari gol tambahan tetapi keputusan 1-1 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung selepas rehat, giliran Kuching City pula meningkatkan asakan untuk memburu gol. Wenzel-Halls kemudiannya meletakkan pelawat di hadapan pada minit ke-50.

Pada awalnya, gol itu dibatalkan kerana kesalahan ofsaid. Walau bagaimanapun, gol Wenzel-Halls disahkan oleh pegawai VAR yang bertugas, Muhammad Usaid Jamal selepas meneliti semula video gol tersebut.

Kem Kuching City kemudiannya ditimpa malang apabila Petrus Shitembi dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-62. DPMM pantas memanfaatkan kelebihan 11 pemain dengan menyumbat gol penyamaan menerusi kapten, Azwan Ali Rahman.

Dalberto sekali lagi menjadi duri dalam daging buat benteng The Cats. Bekas penyerang Arema mudah menolak bola melepasi Haziq untuk meletakkan DPMM kembali di depan pada minit ke-67.

Ajdin Mujagic hampir menyamakan kedudukan buat pelawat pada minit ke-77. Malangnya, tandukan bekas penyerang Sabah FC itu terkena palang sebelum dikeluarkan pertahanan DPMM.

Kuching City terus meningkatkan tekanan untuk memburu gol penyamaan tetapi keputusan 3-2 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan DPMM terus menghambat The Cats di tangga ketiga liga dengan perbezaan tiga mata.

Selepas ini, kedua-dua pasukan mengalihkan fokus kepada aksi separuh akhir Piala FA. DPMM akan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan Kuching City pula berdepan Selangor FC.