Asia Tenggara

Indonesia Janji Kosong Kecewakan Para Penyokong

Indonesia Bangladesh Indonesia Janji Kosong Kecewakan Para Penyokong
Timnas Indonesia
Advertisements

Hasrat Indonesia untuk mengadakan aksi persahabatan dengan Jordan untuk kalendar antarabangsa bulan November tidak kesampaian.

Pembatalan aksi itu disahkan Persatuan Bola Sepak Jordan (JFA) menerusi satu kenyataan di laman sesawang rasmi mereka.

JFA turut mengesahkan pembatalan itu dibuat atas permintaan Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI). PSSI turut memohon maaf kepada JFA atas semua kesulitan yang timbul.

Sebelum ini, Presiden PSSI, Erick Thohir berharap aksi persahabatan menentang Jordan dapat diteruskan bagi membantu persiapan Indonesia menghadapi Piala Asia 2027.

Meskipun sedar dengan situasi keselamatan di rantau Asia Barat, beliau turut bersedia dengan setiap kemungkinan. Ini termasuk mengadakan perlawanan di negara ketiga.

Pada akhirnya, Erick terpaksa mengakui situasi di Asia Barat mendorong PSSI membatalkan aksi berkenaan. Ini kerana pada akhirnya, PSSI mengutamakan keselamatan pemain dan staf kejurulatihan.

Selain itu, faktor penangguhan Piala Asia 2027 turut mempengaruhi keputusan PSSI berhubung pembatalan perlawanan berkenaan.

“Aduh, kompleks. Kita tahu situasi di Timur Tengah tidak mudah. Kita mengutamakan bagaimana keselamatan para pemain terlebih dahulu,” katanya seperti dilaporkan CNN Indonesia.

“Apa lagi AFC kan menangguhkan kejuaraan Asianya. Jadi memang di November ini cukup tidak stabil kerana memang bukan menjadi perlawanan persahabatan untuk AFC.”

Erick menyerahkan keputusan menentukan lawan baharu Indonesia kepada Badan Tim Nasional (BTN) dan jurulatih, John Herdman.

Selain Jordan, Indonesia juga sepatutnya menentang Kuwait pada November. Walau bagaimanapun, perancangan itu dibatalkan kerana Kuwait sudah mengatur dua aksi lebih awal.

Indonesia berharap dapat mencari lawan alternatif bagi meneruskan momentum sejak bergelar juara FIFA ASEAN Cup pada Oktober lalu.