FIFA ASEAN Cup: Penalti Bawa Indonesia Juara, Tumpaskan Thailand
MakanBola
Changsuek

Indonesia dipaksa bekerja keras oleh Thailand sebelum muncul juara edisi sulung FIFA ASEAN Cup di Stadium Utama Gelora Bung Karno (SUGBK).

Aksi final kejohanan bukan saja memberi peluang kepada Indonesia meraih kemenangan bermakna di gelanggang sendiri. Malah, ini juga peluang buat anak buah John Herdman meraih trofi pertama bersama Indonesia.

Thom Haye kembali dalam kesebelasan utama Indonesia selepas menjalani penggantungan satu perlawanan. Chanathip Songkrasin terus menjadi nadi kreatif skuad Thailand.

Mitchell Baker hampir meletakkan Indonesia di hadapan seawal minit kelapan. Malangnya, percubaan penyerang muda Tim Garuda itu dinafikan Saranon Anuin.

10 minit kemudian, giliran penyerang Gajah Perang, Teerasak Poeiphimai pula menguji benteng tuan rumah. Percubaan Teerasak berjaya dinafikan penjaga gol Indonesia, Emil Audero.

Kedua-dua pasukan berusaha memecah kebuntuan tetapi keputusan 0-0 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung pada babak kedua, Herdman memasukkan Dean James sebagai pengganti Haye. Thailand pula menunggu sehingga minit ke-63 sebelum memasukkan Seksan Ratree dan Jude Soonsup-Bell.

Skuad Gajah Perang kemudiannya bernasib malang apabila beraksi dengan 10 pemain. Pengadil, Akhrol Riskullaev melayangkan kad merah kepada Nicholas Mickleson kerana menerjah Ole Romeny di luar kotak penalti.

Sepakan percuma yang diambil James terkena badan Iklas Sanron sebelum menerjah jaring pada minit ke-84. Thailand tidak patah semangat dan kembali menyamakan kedudukan menerusi Iklas tiga minit selepas itu.

Kedua-dua pasukan berusaha mencari gol kemenangan tetapi keputusan 1-1 kekal sehingga tamat 90 minit perlawanan. Hal ini menyaksikan perlawanan diheret ke masa tambahan 30 minit untuk menentukan pemenang.

Tatkala Indonesia terus memberi tekanan untuk memburu gol kemenangan, Peeradol Chamratsamee muncul wira dengan meletakkan Thailand di hadapan pada minit ke-111.

Indonesia tidak putus asa dan kembali memburu gol penyamaan. Hasilnya, Elkan Baggott menyumbat gol penyamaan buat Indonesia pada minit ke-116.

Keputusan 2-2 kekal sehingga tamat 120 minit perlawanan. Situasi ini menyaksikan kedua-dua pasukan diheret ke penentuan sepakan penalti untuk menentukan pemenang.

Penentuan penalti menyaksikan Indonesia muncul pemenang dengan keputusan akhir 4-2.