Thom Haye Dibuang Padang Angkara Bentes Arif Aiman
MakanBola
Timnas Indonesia

Aksi Kumpulan A FIFA ASEAN Cup antara dua seteru Nusantara, Malaysia dan Indonesia ternyata berlangsung agak tegang apabila Thom Haye dilayangkan kad merah seawal minit ke-36 perlawanan.

Kad merah tersebut dilayangkan pengadil selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati pemain kelahiran Belanda itu melakukan kekasaran terhadap pemain sayap lincah, Arif Aiman Hanapi.

Pada mulanya, Thom Haye dilayangkan kad kuning sebelum pengadil menukar keputusan kepada kad merah selepas VAR mengesan terjahan kerasnya tepat mengenai bahagian bawah kaki Arif Aiman.

Keputusan tersebut menyaksikan Indonesia terpaksa meneruskan aksi dengan 10 pemain, sekali gus memberikan kelebihan buat Harimau Malaya untuk memburu gol pendahuluan.

Malaysia cuba menggunakan kelebihan jumlah pemain dengan meningkatkan tekanan ke atas benteng Indonesia, namun barisan pertahanan lawan terus berusaha bertahan bagi memastikan kedudukan kekal seimbang sehingga tamat separuh masa pertama.