Azizulhasni Awang: Ini Pencapaian Luar Biasa
UltraSukan
MSN Malaysia

Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menyifatkan kejayaan meraih pingat emas di pentas Sukan Komanwel 2026 dan Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun sebagai luar biasa.

Pandangan itu disuarakan beliau kerana beliau menjadi sebahagian daripada kelab eksklusif atlet Malaysia yang berjaya melakukannya dalam dua temasya berkenaan.

Azizulhasni mengikut jejak legenda badminton negara, Datuk Ng Boon Bee, Datuk Punch Gunalan, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan legenda skuasy negara, Datuk Nicol David.

Selain itu, beliau turut menyentuh aspek persiapan. Bagi mana-mana atlet, bukan mudah mengatur persiapan untuk sesebuah temasya lebih-lebih lagi jika ia hanya dipisahkan dengan jurang masa sebanyak 60 hari.

“Bagi mereka yang faham tentang ilmu sains sukan dan yang berkaitan dengan perihal ini, terutamanya jurulatih dan atlet di peringkat elit, mereka akan faham bagaimana sukar dan mencabarnya untuk menyusun fasa-fasa periodisasi latihan untuk menghadapi dua kejohanan besar bertaraf temasya tambahan lagi apabila ianya hanyalah berjarak sekitar 60 hari sahaja.

“Malahan, saya sendiri memberitahu pihak media yang mana antara cabaran besar yang perlu saya tempuhi adalah untuk mengekalkan tahap kekuatan dan tahap kecerdasan di tahap puncak untuk menghadapi Sukan Asia Nagoya selepas beraksi cemerlang di Sukan Komanwel Glasgow.

“Walau bagaimanapun, saya sentiasa bersikap optimis dan sentiasa bekerja keras bagi memastikan semua matlamat tersebut tercapai demi merealisasikan pencapaian emas demi negara,” katanya dalam satu hantaran di X.

Azizulhasni turut melihat faktor usia dan statusnya sebagai atlet berkeluarga turut menjadikan pencapaian ini sebagai luar biasa.

“Ketiganya adalah faktor umur. Umur di mana rata-rata atlet Malaysia sudah pun mengalami penurunan prestasi dan sudah pun memilih untuk bersara, akan tetapi saya masih membuktikan yang pada usia 38 tahun saya masih dapat beraksi dengan cemerlang di peringkat tertinggi,” tambahnya.

“Pencapaian yang menongkah arus ini sepatutnya boleh dijadikan pembelajaran banyak pihak dan memberi manfaat kepada bukan hanya atlet tetapi pelbagai golongan, namun begitu tidak ramai melihatnya dengan sedemikian.

“Yang terakhir, bagi saya pencapaian ini adalah luar biasa kerana saya bukan sahaja seorang atlet biasa akan tetapi saya adalah atlet berkeluarga yang juga menjalani kehidupan dan tanggungjawab sebagai seorang suami dan bapa kepada anak-anak saya disamping mengejar pencapaian di dalam dunia tipu-tipu ini.”

Azizulhasni kini mengalihkan fokus kepada UCI Track World Championships 2026 di Shanghai, China. Kejohanan itu akan berlangsung dari 14 hingga 18 Oktober ini.