Ketua jurulatih Thailand, Anthony Hudson akur perlu mengambil kira komitmen pemain bersama kelab masing-masing dalam membuat persiapan menghadapi saingan King’s Cup edisi ke-52 yang bakal berlangsung di Sisaket pada November ini.
Situasi itu menyebabkan beliau tidak dapat menyenaraikan semua pemain pilihan seperti yang diharapkan, terutama ketika beberapa pemain masih terikat dengan jadual pertandingan dengan kelab masing-masing.
Antara pemain yang mendapat perhatian ialah penyerang sensasi Thailand, Suphanat Mueanta yang akan menyertai kem latihan lewat berbanding rakan sepasukannya. Perkara itu merupakan sebahagian daripada persetujuan yang dicapai antara pihak Thailand dengan kelabnya, Omiya Ardija, mengambil kira keadaan kecederaan serta jadual pemulihan pemain berkenaan.
Hudson menjelaskan bahawa Suphanat hanya akan menyertai skuad menjelang perlawanan akhir. Beliau turut berterima kasih kepada pihak Omiya Ardija kerana memberikan maklumat secara telus mengenai perkembangan kecederaan pemain itu serta proses pemulihannya sebelum kembali beraksi.
“Untuk pemain yang mengalami kecederaan seperti ini (Suphanat), jika mereka perlu bermain sebelum menaiki penerbangan dan terus melakukan perjalanan ke Sisaket, ia mungkin bukan persediaan fizikal yang paling sesuai, lebih-lebih lagi apabila kecederaan tersebut pernah berulang,” jelas Hudson seperti yang dikongsikan Changsuek di laman Facebook.
Dalam masa sama, beliau mengesahkan bahawa dua pemain yang beraksi di Jepun iaitu Theeraphat Pruethong dan Supachok Sarachat akan menyertai kem latihan bermula hari pertama jendela antarabangsa FIFA.
Hudson bagaimanapun mengakui jadual ASEAN Club Championship serta beberapa faktor lain menyukarkan pihaknya mendapatkan semua pemain yang benar-benar diinginkan untuk membentuk senarai akhir 23 pemain.
“Walaupun terdapat beberapa pemain yang kami mahu bawa masuk, ia bukan sesuatu yang mudah untuk mendapatkan kesemua mereka. Namun, saya percaya kepada setiap pemain yang dipilih. Kami mempunyai skuad yang cukup baik dan seimbang untuk melaksanakan tugas serta mencapai sasaran dalam kem kali ini.
“Kami hanya mempunyai satu matlamat, iaitu memenangi kejohanan ini. Hampir tiga tahun kami tidak menjulang sebarang trofi dan bagi Thailand, itu sudah terlalu lama. Saya yakin setiap pemain yang melaporkan diri nanti akan memahami dengan jelas sasaran kami, iaitu mahu mengangkat trofi apabila kem ini berakhir,” tegasnya lagi.
Untuk rekod, Thailand dijadualkan bertemu Brunei pada 14 November 2026 dalam aksi separuh akhir sebelum perlawanan penentuan tempat ketiga dan final berlangsung pada 17 November. Kejohanan kali ini membabitkan empat pasukan iaitu Thailand selaku tuan rumah, Oman, Brunei dan Tajikistan.


