Asia Tenggara

Masih Tiada Jawapan Dari FIFA

FIFA Logo Masih Tiada Jawapan Dari FIFA
Malaysia NT
Advertisements

Tiada jawapan dari Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sungguhpun bantahan rasmi sudah dihantar.

Isu ini berpunca daripada perubahan tempoh masa tambahan yang berlaku ketika aksi Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta. Masa tambahan yang pada awalnya dipaparkan selama dua minit tiba-tiba bertukar kepada tujuh minit, dan keputusan itu mengundang perhatian ramai kerana perlawanan tersebut mempunyai kaitan langsung dengan perebutan tempat ke final.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tampil menyatakan pendirian tegas berhubung perkara tersebut. Dalam kenyataan rasminya, badan induk bola sepak negara itu menjelaskan kronologi insiden yang berlaku dalam perlawanan antara Indonesia dan Bangladesh.

“FAM memandang serius isu perubahan tempoh masa tambahan yang berlaku ketika perlawanan antara Indonesia dan Bangladesh dalam aksi Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, malam tadi.

“Perlawanan tersebut menyaksikan tempoh masa tambahan yang pada awalnya ditunjukkan selama dua minit kemudiannya berubah kepada tujuh minit.”

Susulan itu, FAM mengambil langkah membawa isu ini terus ke peringkat tertinggi, dengan memohon penjelasan menyeluruh daripada pihak FIFA.

“Sehubungan itu, FAM akan mengemukakan permohonan rasmi kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi menjelaskan asas, prosedur dan keadaan yang membawa kepada perubahan tempoh masa tambahan tersebut.”

“FAM turut berpandangan bahawa perkara ini wajar diberikan perhatian sewajarnya memandangkan perlawanan tersebut melibatkan persaingan untuk menentukan kedudukan akhir Kumpulan A, sekali gus memberi kesan kepada penentuan pasukan yang layak ke final.

“Justeru, FAM menggesa FIFA supaya menjalankan penelitian terhadap insiden berkenaan dan memberikan penjelasan terperinci mengenai keputusan yang dibuat oleh pegawai perlawanan, termasuk sama ada perubahan tempoh masa tambahan tersebut telah dilaksanakan mengikut prosedur dan peraturan yang berkuat kuasa,” ujar kenyataan FAM.

“Pada masa sama, FAM ingin menegaskan bahawa permohonan ini bukan bertujuan untuk mempersoalkan keputusan perlawanan atau mempertikaikan pencapaian mana-mana pasukan, sebaliknya bagi mendapatkan penjelasan rasmi mengenai proses dan prosedur pengadilan bagi mengelakkan kekeliruan yang timbul.”

Perkembangan terbaru menunjukkan penantian itu masih belum berpenghujung. Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Hj Rahman, mengesahkan bahawa sehingga kini pihaknya masih belum menerima sebarang maklum balas.

“Kita (FAM) ada menghantar bantahan tetapi sehingga kini, kita masih belum menerima apa-apa jawapan dari FIFA.

“FAM akan melakukan tindakan susulan kepada FIFA untuk mendapatkan jawapan,” katanya ketika ditemui.

Harimau Malaya dijadual berangkat ke China bagi aksi perlawanan Antarabangsa Tier 1 menentang tuan rumah China pada 14 November ini, jam 8.00 malam, di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre, sebelum berdepan Yemen di venue sama pada 17 November, jam 2.00 petang.