ACL

Keputusan Positif 8 Wakil ASEAN Di Pentas Asia

Safawi Shitembi Kuching City AFC Keputusan Positif 8 Wakil ASEAN Di Pentas Asia
AFC
Advertisements

Kelab-kelab ASEAN mempamerkan aksi memberangsangkan dalam saingan AFC Champions League Elite (ACLE) dan AFC Champions League Two (ACL2) apabila lapan wakil berjaya mencatat keputusan positif pada hari perlawanan keempat minggu ini.

Daripada lapan kelab ASEAN tersebut, enam pasukan berjaya meraih kemenangan manakala dua lagi terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri ketika berdepan lawan masing-masing.

Dalam saingan ACLE, Port FC menjadi antara wakil ASEAN yang mencuri perhatian apabila berjaya menewaskan Beijing FC dengan keputusan 7-4 dalam aksi yang berlangsung pada 3 November.

Penyerang Thailand, Bordin Phala muncul watak penting buat Port FC apabila meledak hatrik untuk membantu pasukannya menamatkan rentetan tiga kekalahan berturut-turut dalam pertandingan tersebut.

Sementara itu, Cong An Ha Noi terpaksa berkongsi mata selepas terikat tanpa jaringan ketika melayan kunjungan Kyoto Sanga di Stadium Hang Day pada hari yang sama.

Buriram United turut mencatat keputusan seri 0-0 apabila berjaya mengekang kemaraan Kashima Antlers dalam aksi di laman sendiri pada 4 November.

Beralih ke saingan ACL2, Persib Bandung mencipta kemenangan penting apabila bangkit menewaskan Melbourne Victory 2-1 dalam perlawanan Kumpulan E pada 4 November.

Persib terlebih dahulu ketinggalan menerusi jaringan Brendan Hamill pada minit ke-71 sebelum Luka Menalo menyamakan kedudukan pada minit ke-85 dan Balsa Sekulic memastikan kemenangan menerusi jaringan pada penghujung perlawanan.

Lion City Sailors pula merekodkan kemenangan besar apabila membelasah Adelaide United 5-0 dalam aksi Kumpulan F pada 5 November.

Matthias Phaeton meledak dua gol manakala Bailey Wright, Kyoga Nakamura dan Ilhan Fandi turut mencatat nama sebagai penjaring untuk membantu wakil Singapura itu mengumpul 10 mata selepas empat perlawanan.

Satu lagi wakil Thailand, BG Pathum United turut mencatat kemenangan apabila menewaskan Tai Po FC dengan keputusan 4-1 dalam aksi Kumpulan F.

Wakil Kemboja, Preah Khan Reach Svay Rieng pula berjaya menewaskan Tampines Rovers 2-0 menerusi jaringan Thiago Alves dan Johannes Tartarotti untuk mengumpul tujuh mata dalam Kumpulan G.

Kuching City melengkapkan senarai wakil ASEAN yang mencatat kemenangan apabila menewaskan Gangwon FC 2-0 dalam aksi Kumpulan H di Stadium Taha Ariffin pada 5 November.

Dua jaringan Safawi Rasid pada separuh masa pertama memastikan Kuching City meraih kemenangan pertama dalam kempen ACL2 musim ini sekali gus menyamai kutipan empat mata milik Gangwon FC.