Asia Tenggara

Thailand Yakin Mampu ‘Rampas’ Trofi King’s Cup

Thailand King Cup Thailand Yakin Mampu ‘Rampas’ Trofi King’s Cup
Changsuek

Thailand optimis untuk kembali menjuarai King’s Cup dan bakal bertemu Tajikistan, malam ini.

Advertisement

Perkara ini dinyatakan secara jelas oleh ketua jurulatih Thailand, Anthony Hudson tatkala pasukannya sudah membuat persiapan rapi dan akan menggunakan baki masa yang ada untuk memperhalusi taktik bagi berdepan Tajikistan, pasukan yang disifatkannya kuat dan sukar dijangka.

“Pasukan telah membuat persiapan dengan baik untuk perlawanan akhir ini. Mereka akan menggunakan baki masa yang ada untuk menyediakan taktik bagi berdepan Tajikistan. Ini pasukan yang kuat dengan corak permainan yang kompleks,” kata beliau.

Bekas jurulatih New Zealand itu turut menjadikan pertemuan dengan Turkmenistan pada bulan Mac lalu sebagai rujukan. Menurut beliau, gaya permainan kedua-dua pasukan Asia Tengah itu hampir sama, namun Tajikistan berada setingkat lebih tinggi dari segi peralihan, hantaran pantas dan kebolehan menyesuaikan corak permainan.

“Daripada pengalaman bertemu Turkmenistan pada bulan Mac lalu, kami dapat melihat persamaan dalam gaya permainan mereka, tetapi Tajikistan lebih kuat. Sama ada ketika beralih daripada bertahan kepada menyerang, bermain hantaran sentuhan pertama, mahupun keupayaan mengubah gaya permainan,” jelasnya.

Walaupun menghormati kekuatan lawan, jurulatih berusia 45 tahun itu menegaskan bahawa beliau tetap meletakkan kepercayaan penuh terhadap pelan permainan yang telah disusun serta kemampuan setiap pemain dalam skuad.

“Pasukan kebangsaan Thailand menghormati lawan kami, tetapi kami tetap yakin dengan pelan permainan dan potensi setiap pemain.”

Pengendali skuad Gajah Perang itu juga tidak bimbang soal pemilihan kesebelasan utama, kerana beliau percaya sesiapa sahaja yang diturunkan mampu memberi saingan sengit kepada pihak lawan.

“Tidak kira siapa yang mendapat peluang untuk beraksi di atas padang, saya percaya mereka mampu menyukarkan pihak lawan dan mempunyai peluang untuk menang dalam perlawanan akhir ini,” tambahnya.

Sokongan padu turut mengiringi tuan rumah apabila tiket perlawanan akhir habis dijual secara dalam talian. Seorang ahli perniagaan juga menawarkan bonus sebanyak 3 juta baht kepada pasukan sekiranya mereka berjaya menjulang Piala King’s Cup.

Aksi antara Thailand vs Tajikistan dijadual berlangsung pada 17 November 2026 jam 8.30 malam (waktu Malaysia).