Asia Tenggara

Hariss Harun Akui Terkejut Kalah 6-0 Lawan Malaysia

Hariss FA Singapore 4 Hariss Harun Akui Terkejut Kalah 6-0 Lawan Malaysia
FA Singapore
Advertisements

Kapten Singapura, Hariss Harun mengakui masih terkejut melihat pasukannya menjadi mangsa belasahan Malaysia dalam saingan peringkat kumpulan FIFA ASEAN Cup.

Singapura tergamam apabila dibelasah 6-0 oleh Harimau Malaya. Bergson da Silva, Stuart Wilkin, Paulo Josue dan Syahir Bashah masing-masing mencetak nama sebagai penjaring.

Kekalahan itu bukan saja kekalahan terbesar Singapura sejak dibimbing Gavin Lee. Malah, ini juga kekalahan terburuk The Lions di tangan Harimau Malaya sejak tahun 1968.

Hariss mengakui masih terkejut dengan apa yang berlaku setiap kali mengenang semula perlawanan berkenaan.

“Anda tahu, kami semua terkejut selepas melihat keputusan (perlawanan) itu. Saya fikir keputusan perlawanan berkenaan, kita tak boleh bersembunyi daripada keputusan itu, kan?

“Saya fikir itu sentiasa bermain dalam kepala kita. Anda tahu, kami sendiri terkejut selepas melihat keputusan itu terutama bila menentang Malaysia,” katanya seperti dilaporkan Channel News Asia.

Hariss turut melihat persembahan buruk The Lions dalam aksi itu sebagai inspirasi untuk pasukan itu bangkit semula.

“Persembahan tersebut bukanlah sesuatu yang boleh kami banggakan. Selepas perlawanan itu, tidak banyak yang diperkatakan.

“Tetapi sejak kami berkumpul semula di kem latihan, kami menjadikannya sebagai rujukan tentang bagaimana kami seharusnya tidak bertindak pada masa hadapan, melihat di mana silap kami dan apa yang perlu diperbaiki,” tambahnya.

Singapura kini sibuk membuat persiapan untuk kempen Mizuho Blue Challenge – The Kallang Football Series Singapore. Pasukan itu akan menentang Paraguay pada 13 November sebelum disusuli dengan Brazil pada 17 November.