FIFA ASEAN Cup: Malaysia Benam Singapura Penuh Suka Duka
MakanBola
Malaysia National Team

Malaysia terpaksa berpuas hati sebagai naib juara Kumpulan A FIFA ASEAN Cup meskipun membelasah Singapura dalam aksi terakhir kumpulan.

Malaysia sedar mereka perlu menewaskan Singapura jika ingin menempah tiket final sebagai juara kumpulan. Pada masa sama, anak buah Tan Cheng Hoe juga berharap keputusan perlawanan Indonesia menentang Bangladesh memihak kepada mereka.

Cheng Hoe membawa masuk Fergus Tierney dan Daniel Ting sebagai pengganti Faisal Halim dan La’Vere Corbin Ong. Safuwan Baharudin kembali memperkuatkan benteng Singapura selepas menjalani penggantungan satu perlawanan.

Sebaik perlawanan bermula, Singapura bernasib malang apabila pengadil, Kim Jong-hyeok memberi sepakan penalti kepada Harimau Malaya. Ini selepas VAR mengesan kekasaran yang dilakukan pemain Singapura terhadap Tierney.

Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva tenang menewaskan Izwan Mahbud untuk gol pertama kem negara pada minit kelapan.

Tersentak, The Lions yang dibimbing Gavin Lee cuba bangkit mencari gol penyamaan. Malangnya, gawang Izwan dibolosi buat kali kedua pada minit ke-26.

Selepas berjaya melepasi benteng Singapura, Manuel Hidalgo menghantar bola yang mudah disudahkan Stuart Wilkin melepasi penjaga gol Young Lions itu.

Singapura berusaha mencari gol tetapi keputusan 2-0 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung selepas rehat, Singapura berusaha mencari peluang untuk merobek gawang negara yang dikawal Syihan Hazmi Mohamed tetapi tidak berhasil.

Situasi ini mendorong Lee memasukkan Jacob Mahler dan Farhan Zulkifli untuk mengubah momentum perlawanan. Malangnya, gawang Singapura bocor lagi buat kali ketiga menerusi Bergson pada minit ke-62.

Kelebihan gol yang selesa membolehkan Cheng Hoe memberi penampilan pertama kepada pemain tengah JDT, Hong Wan. Pemilik nama Nathaniel Shio Hong Wan itu masuk menggantikan Stuart pada minit ke-75.

The Lions makin derita apabila pemain gantian, Paulo Josue melepaskan rembatan deras yang menewaskan Izwan pada minit ke-76.

Malaysia terus mencerahkan peluang bergelar juara kumpulan apabila seorang lagi pemain gantian, Syahir Bashah meledakkan gol kelima pada minit ke-87. Bergson melengkapkan malam gemilang Harimau Malaya dengan hatrik pada minit akhir perlawanan.

Meskipun begitu, itu tidak cukup untuk membawa Malaysia ke final FIFA ASEAN Cup sebagai juara Kumpulan A. Ini kerana Indonesia memiliki kelebihan jaringan selepas membelasah Bangladesh 9-2 dalam satu lagi aksi kumpulan.

Ini bermakna Harimau Malaya kini menunggu keputusan akhir Kumpulan B untuk mengetahui siapa lawan mereka sebagai naib juara kumpulan itu.