Skuad Malaysia Bawah 16 Tahun (B-16) tidak gentar dengan ancaman Singapura menjelang aksi terbaru kelayakan Piala Asia B-17 2027 Kumpulan E.
Perkara ini dizahirkan jurulatih pasukan, Shukor Adan menjelang pertemuan antara kedua-dua pasukan itu pada 14 November ini.
Bekas ‘orang besi’ Harimau Malaya itu percaya pasukan yang diberi jolokan The Cubs itu bukan saja akan menggunakan pendekatan berbeza bila menentang Malaysia.
Malah, Shukor juga maklum pasukan itu memiliki beberapa orang pemain yang memiliki kelebihan teknikal di atas padang.
Meskipun begitu, jurulatih berusia 47 tahun itu yakin anak buahnya mampu mengatasi cabaran Singapura untuk mendapatkan keputusan positif dalam Kumpulan E.
“Saya tahu Singapura akan menukar serba sedikit pelan permainan mereka. Saya rasa dalam empat, lima hari ini kita sudah analisis pasukan Singapura.
“Dan ada beberapa pemain yang harus diberi perhatian dalam pasukan Singapura. Kalau kita lihat, ada pemain yang memiliki kelebihan teknikal dan kualiti.
“Dan kita sudah terangkan dalam bilik mesyuarat tentang kekuatan dan kelemahan lawan. Jadi, saya rasa benda itu kita semua sudah analisis dan kita harap dapat tunjukkan bila berdepan Singapura,” katanya kepada Nadi Arena.
Dua aksi awal Kumpulan E menyaksikan Singapura sudah menang sekali dan tewas sekali. Selepas membelasah Guam, anak buah Ashraf Ariffin kemudiannya tewas 4-2 kepada India.
Sekiranya Malaysia berjaya menewaskan Singapura, skuad negara berpeluang memintas pasukan seberang Tambak Johor itu di tempat ketiga kumpulan.


