Jurulatih Pohang Steelers, Park Tae-ha mengakui pelan permainannya untuk menyekat Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak menjadi.
Hal ini dikongsikan beliau dalam sidang media pascaperlawanan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) antara kedua-dua pasukan itu di Pohang Steel Yard.
Tae-ha mengakui memiliki pelan khusus untuk menyekat jentera serangan Harimau Selatan terutama kapten mereka, Arif Aiman Hanapi.
Meskipun begitu, kesukaran Pohang mendapatkan penguasaan bola sepanjang perlawanan mengakibatkan pelan yang direncana beliau gagal direalisasikan.
“Saya beritahu anda sebelum perlawanan, JDT satu pasukan yang bagus. Dalam bola sepak, anda boleh tewas walaupun beraksi di gelanggang sendiri. Kami juga telah membuat persediaan menghadapi tekanan daripada barisan serangan lawan.
“Jika JDT berada dalam tekanan, mereka dijangka akan cuba melakukan hantaran menembusi pertahanan dari belakang ke ruang di hadapan, berbanding melakukan hantaran pendek. Jadi, kami telah bersedia untuk menyekat gerakan tersebut. Walau bagaimanapun, timbul masalah semasa mengawal bola yang akhirnya membawa kepada kekalahan kami.
“Pihak lawan mempunyai ramai pemain yang hebat. Kami telah membuat persediaan sewajarnya untuk mengekang pemain-pemain tersebut. Namun begitu pafa akhirnya, perancangan yang kami sediakan itu tidak berjalan dengan lancar,” katanya seperti dilaporkan Maeil Business.
Pohang tewas 2-0 kepada JDT menerusi dua gol Marcos Guilherme. Tuan rumah juga beraksi dengan 10 pemain selepas kapten, Jeon Min-kwang dilayangkan kad merah.
Ini kekalahan kedua Pohang dalam saingan ACLE. Sebelum ini, anak buah Tae-ha tewas 3-1 kepada kelab China, Beijing Guoan pada September lalu.