ACLE: JDT Buat Pohang Steelers ‘Menangis’ Hampa
MakanBola
Johor Southern Tigers

Johor Darul Ta’zim (JDT) menamatkan kemarau kemenangan di bumi Korea Selatan apabila menewaskan Pohang Steelers dalam aksi kedua Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) di Pohang Steelyard.

Pohang berharap dapat meraikan detik kembali ke gelanggang keramat mereka dengan kemenangan. JDT pula berharap dapat menamatkan kemarau kemenangan di Korea Selatan dalam saingan di peringkat Asia.

Gandingan Antonio Glauder dan Kevin Medina menjadi pilihan Xisco Munoz selepas Eddy Israfilov menjalani penggantungan dua perlawanan. Penyerang Jerman, Jakob Tranziska menjadi sandaran gol jurulatih Pohang, Park Tae-ha.

Separuh masa pertama menyaksikan pelawat cuba mencari gol awal menerusi gandingan Shahab Zahedi, Marcos Guilherme dan kapten, Arif Aiman Hanapi.

Zahedi hampir mencemaskan gawang Pohang pada minit ke-16. Penyerang Iran itu terpaksa menelan kepahitan apabila percubaan beliau hanya terkena tiang gol.

Penjaga gol Pohang, Hong Sung-min terus menjadi penghalang buat Zahedi. Kali ini, percubaan deras beliau dari sebelah kiri berjaya dinafikan penjaga gol berusia 20 tahun itu.

Tuan rumah kemudiannya ditimpa malang apabila dipaksa beraksi dengan 10 pemain. Kapten Pohang, Jeon Min-kwang dilayangkan kad merah selepas VAR mendapati beliau melakukan kekasaran sebagai pemain terakhir terhadap Zahedi.

Kedua-dua pasukan terus berusaha untuk memecah kebuntuan tetapi keputusan 0-0 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung selepas rehat, Tae-ha segera membuat dua pertukaran bagi memperkemaskan jentera Pohang. Beliau membawa masuk Kim Seung-ho sebagai pengganti arkitek veteran, Ki Sung-yueng dan Jin Si-woo.

Gol yang dicari pelawat akhirnya hadir pada minit ke-49. Selepas menerima hantaran Zahedi, Guilherme tenang menewaskan Sung-min untuk gol pendahuluan JDT.

Meskipun beraksi dengan 10 pemain, Pohang berusaha mencari gol penyamaan. Situasi ini mendorong Munoz memasukkan Bergson da Silva dan Jairo da Silva untuk menambah sengat di bahagian serangan.

Pohang terus berusaha mengurangkan defisit gol tetapi keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Ini kekalahan kedua Pohang di pentas ACLE selepas tewas 3-1 kepada kelab China, Beijing Guoan.

Guilherme memastikan malam cemerlang JDT dengan gol keduanya pada minit ke-89. Bekas pemain V. Varen Nagasaki itu mudah menolak rembatan Bergson yang terkena tiang melepasi Sung-min.

Selain itu, anak buah Tae-ha juga hanya meraih satu kemenangan daripada lapan perlawanan terakhir mereka dalam semua kejohanan. JDT pula lega meraih tiga mata pertama mereka dalam ACLE musim ini.

Sofascore memilih Guilherme sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.0. Nacho Mendez dan Glauder pula berada di belakang dengan kedua-duanya berkongsi 7.3 mata.