Aksi Pohang Steelers vs JDT Bakal Cipta Detik Istimewa
MakanBola
Johor Southern Tigers

Aksi Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) antara Pohang Steelers dan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Selasa bakal menjadi detik istimewa buat kelab Korea Selatan itu.

Maeil Business melaporkan detik itu bakal menjadi detik istimewa kerana ini kali pertama Pohang beraksi di stadium mereka, Pohang Steelyard dalam tempoh dua bulan.

Sebelum ini, Pohang terpaksa beraksi di stadium alternatif susulan isu keselamatan stadium yang memerlukan perhatian segera. Pada Ogos lalu, serpihan konkrit jatuh di bahagian tempat duduk penyokong pelawat dan mencederakan seorang penonton.

Susulan itu, kelab segera membuat pemeriksaan keselamatan bagi mengetahui punca sebenar kejadian. Hasil siasatan mendapati air hujan telah meresap ke dalam siling stadium dan merosakkan sebahagian konkrit.

Hal ini mendorong pengurusan Pohang menutup stadium untuk kerja-kerja penambahbaikan. Beberapa aksi yang sepatutnya berlangsung di Pohang Steelyard juga dipindahkan ke venue alternatif lain sepanjang tempoh penambahbaikan berjalan.

Selepas kerja penambahbaikan selesai, pemeriksaan akhir dibuat di Pohang Steelyard. Hasilnya, Persekutuan Bola Sepak Profesional Korea Selatan (KPFL) meluluskan stadium itu boleh digunakan untuk aksi tempat sendiri Pohang.

Selain kerja-kerja penambahbaikan, Pohang juga mahu memastikan padang stadium berada pada keadaan terbaik. Semakan di padang stadium sehari sebelum perlawanan menunjukkan padang Pohang Steelyard dalam keadaan terbaik.

Pohang dan JDT bakal berentap pada Selasa. Aksi ini juga merupakan peluang buat tuan rumah membalas dendam selepas dibelasah 5-2 oleh lawan sama pada musim 2024/25.