Johor Darul Ta’zim (JDT) meleburkan rekod buruk mereka dengan Pohang Steelers apabila menewaskan wakil Korea Selatan itu dalam aksi terbaru Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).
Harimau Selatan mahu menamatkan kemarau kemenangan ke atas Pohang Steelers sejak ACL musim 2021. Pohang pula memburu kemenangan untuk memastikan kedudukan lapan teratas mereka tidak tergugat.
Bintang baru JDT, Anselmo Moraes diletakkan di bangku simpanan. Jorge Teixeira pula menjadi sandaran gol pengendali Pohang, Park Tae-ha.
Separuh masa pertama menyaksikan JDT mengancam kubu pertahanan pelawat menerusi Arif Aiman Hanapi, Bergson da Silva, Jonathan Viera dan Juan Muniz.
Situasi ini memaksa barisan pertahanan Pohang diketuai Lee Dong-hee bekerja keras mematahkan setiap percubaan yang digerakkan Harimau Selatan.
Pelawat terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi penyerang Korea Selatan, Lee Ho-jae pada minit ke-27.
Tersentak, JDT menggandakan asakan untuk memburu gol penyamaan. Hasilnya, Oscar Arribas menyumbat gol penyamaan 10 minit selepas itu.
Meskipun penjaga gol Pohang, Yun Pyeong-guk berjaya menafikan percubaan awal Murilo Henrique, Arribas pantas menolak bola muntah melepasi penjaga gol berusia 33 tahun itu.
Gol tersebut memastikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) sehingga rehat.
Bersambung pada separuh masa kedua, JDT terus meningkatkan serangan dengan sokongan padu penyokong di SSI.
Pohang cuba menyekat asakan tuan rumah dengan memasukkan dua pemain gantian, Eo Jeong-won dan Kim Jong-uh.
Gol kedua yang dicari Harimau Selatan muncul pada minit ke-52 menerusi Bergson. Meskipun cuba disekat Pyeong-guk dan seorang pertahanan pelawat, penjaring terbanyak Liga Super itu berjaya menyempurnakan peluang dari sudut sukar.
Pohang makin derita apabila Arif menambah gol ketiga JDT empat minit selepas itu. Kesilapan pertahanan pelawat dihukum pemain sayap Harimau Malaya itu sebelum menolak bola ke dalam gawang kosong.
Pohang merapatkan jurang menerusi pemain gantian, Kang Hyeon-je pada minit ke-80. Situasi ini mendorong pengendali Harimau Selatan, Hector Bidoglio memasukkan Moraes, Jese Rodriguez dan Jorge Obregon sebagai pemain gantian.
Heberty menyangkan telah memulihkan kembali kelebihan dua gol JDT dengan menyumbat gol keempat pada minit ke-92. Walau bagaimanapun, gol tersebut dibatalkan kerana Pyeong-guk sudah mendapat bola terlebih dahulu.
Jese menceriakan kem Harimau Selatan dengan gol keempat pada minit ke-96. Ini disusuli penalti Obregon pada minit akhir perlawanan.
Keputusan 5-2 ini sudah cukup untuk membawa JDT ke pusingan 16 pasukan terbaik ACLE.
Pohang pula mengikut jejak Ulsan HD yang tersingkir daripada saingan ACLE selepas menamatkan kempen di tangga kesembilan. Ini selepas Shanghai Shenhua melonjak ke tangga ketujuh selepas menewaskan Vissel Kobe.
Sofascore memilih Arif sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.0. Beliau mengatasi cabaran rakan sepasukan, Viera dan Jese yang meraih 7.5 dan 7.4 mata.