Sebuah portal Jepun telah mengaitkan jurulatih pasukan negara itu, Hajime Moriyasu dengan Harimau Malaya.
Portal Sakanowa melaporkan nama jurulatih berusia 58 tahun itu timbul sebagai calon jurulatih berpotensi membimbing skuad negara.
Khabar ini timbul tatkala Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menimbang kemungkinan merekrut jurulatih asing sebagai pengganti tetap jurulatih sebelumnya dari Australia, Peter Cklamovski.
Sebelum ini, Presiden FAM, Datuk Ab Ghani Hassan memaklumkan badan induk itu akan membuat keputusan secara kolektif dalam menentukan siapa calon pengendali Malaysia yang seterusnya.
“Ini bukan keputusan saya seorang. Kita akan berbincang tentang satu perkara yang terbaiklah untuk Harimau Malaya. Kemudian apabila ada nama tertentu, nanti akan dicadangkan dalam Mesyuarat Exco FAM untuk meluluskan dan sebagainya.
“Buat masa ini, belum ada lagi dan kita masih lagi memerhati dan membuat kajian tentang pengendali Harimau Malaya seterusnya,” katanya.
Nama Moriyasu menjadi perhatian kerana kontraknya bersama Jepun bakal tamat selepas kempen Piala Asia 2027. Setelah itu, jurulatih skuad Olimpik Jepun, Go Oiwa bakal memikul tugas sebagai pengganti beliau.
Moriyasu antara jurulatih yang bertanggungjawab membantu menstabilkan Jepun sepanjang tempoh lapan tahun membimbing pasukan itu. Antara pencapaian terbaik beliau ialah naib juara Piala Asia 2019 dan juara East Asia Championship sebanyak dua kali.
Samurai Biru turut merekodkan keputusan memukau di bawah bimbingan Moriyasu. Antara pasukan yang pernah dimalukan Jepun ialah Brazil, England, Sepanyol dan Jerman.