Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan melihat faktor kepakaran sebagai sebab badan induk itu mahu jurulatih luar membimbing skuad negara.
Pandangan itu dikongsikan beliau dalam satu temu bual bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam baru-baru ini.
Ab Ghani berpandangan jurulatih luar membawa kepakaran dan pengalaman yang diraih di luar negara apabila diberi peluang membimbing Harimau Malaya.
Beliau melihat aspek ini juga bakal memberi manfaat kepada jurulatih tempatan. Ini kerana pengalaman dan pengetahuan yang ditimba menjadikan mereka jurulatih yang lebih baik.
“Tapi kita harus mengakui jurulatih luar ini, dia macam memindahkan teknologi. Mereka membawa kepandaian mereka ke sini dan harapnya dia juga boleh mengaplikasikan pengalaman dia untuk jurulatih yang lain di negara kita,” katanya.
Ab Ghani turut memaklumkan faktor keputusan terutama dalam kempen kelayakan Piala Dunia/Piala Asia juga memainkan peranan penting.
Atas sebab itu, sebarang keputusan berkenaan jurulatih baharu sama ada jurulatih tempatan atau luar akan dibuat secara kolektif demi kepentingan skuad kebangsaan.
“Kita nakkan keputusan yang baik lebih-lebih lagi kita akan menghadapi kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia. Jadi, kita perlukan keputusan yang baik. Jadi, waima dengan jurulatih tempatan, kalau boleh buat, kita teruskan. Kalau kita perlukan jurulatih luar, kita fikirkan untuk membuat keputusan.
“Ini bukan keputusan saya seorang. Kita akan berbincang tentang satu perkara yang terbaiklah untuk Harimau Malaya. Kemudian apabila ada nama tertentu, nanti akan dicadangkan dalam Mesyuarat Exco FAM untuk meluluskan dan sebagainya.
“Buat masa ini, belum ada lagi dan kita masih lagi memerhati dan membuat kajian tentang pengendali Harimau Malaya seterusnya,” tambahnya.
Sebelum ini, jurulatih Jepun dilaporkan antara calon berpotensi sebagai pengganti tetap jurulatih sebelumnya, Peter Cklamovski. Ab Ghani turut mengesahkan Tan Cheng Hoe akan terus kekal mengemudi Malaysia sebagai jurulatih interim buat masa ini.