Jurulatih Jepun Bakal Kemudi Harimau Malaya?
MakanBola
Malaysia National Team

Harimau Malaya berpotensi dikemudi jurulatih Jepun sebagai pengganti tetap jurulatih sebelumnya, Peter Cklamovski.

Kemungkinan itu timbul selepas Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan dalam perancangan merekrut jurulatih luar untuk kempen kelayakan Piala Dunia/Piala Asia.

Wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam melaporkan antara calon jurulatih berpotensi diintai FAM ialah negara Jepun. Tan Cheng Hoe juga dilihat masih kekal memikul tugas sebagai jurulatih interim Malaysia.

“’Tan Cheng Hoe masih jurulatih interim Harimau Malaya,’ Datuk Ab Ghani Hassan, Presiden FAM ketika badan induk itu dikatakan dalam perancangan ambil jurulatih luar termasuk dari Jepun menjelang kelayakan Piala Dunia/Piala Asia tahun depan,” katanya di X.

Sekiranya FAM benar-benar mahu membawa jurulatih Jepun sebagai jurulatih tetap, maka satu lagi sejarah bakal dilakar. Ini kerana tiada jurulatih Jepun yang pernah membimbing Harimau Malaya.

Sebelum ini, beberapa pihak menyeru FAM agar mengekalkan Cheng Hoe sebagai jurulatih Harimau Malaya. Ini susulan prestasi baik pasukan itu dalam ASEAN Hyundai Cup dan FIFA ASEAN Cup.

Meskipun begitu, Cheng Hoe menyerahkan sepenuhnya kepada FAM berhubung statusnya bersama skuad kebangsaan.