Harimau Malaya

Peluang Tan Cheng Hoe Ikut Jejak Karl-Heinz Weigang

Tan Cheng Hoe Malaysia NT 2 Peluang Tan Cheng Hoe Ikut Jejak Karl-Heinz Weigang
Malaysia NT
Advertisements

Pengendali interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berpeluang mengikut jejak langkah bekas jurulatih kebangsaan, mendiang Karl-Heinz Weigang, yang pernah mencipta kejayaan bersama skuad negara suatu ketika dahulu. Kini, Cheng Hoe berpeluang melakar sejarah tersendiri sekiranya berjaya membawa Malaysia menewaskan China dalam pertemuan akan datang.

Harimau Malaya bakal berdepan China pada 14 November ini dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 yang dijadual berlangsung di Stadium Pusat Sukan Zhaoqing, Guangdong.. Pertemuan itu pastinya menjadi ujian penting buat Cheng Hoe untuk menilai kemampuan anak buahnya selain menguji pendekatan taktikal berdepan pasukan yang mempunyai reputasi lebih besar di pentas bola sepak Asia.

Kali terakhir Malaysia menewaskan China adalah pada 16 Mac 1980 apabila skuad negara mencatat kemenangan 3-1 dalam aksi persahabatan di Stadium Merdeka. Ketika itu, Harimau Malaya dibimbing Weigang yang merupakan antara figura penting dalam sejarah bola sepak negara. Kemenangan tersebut sehingga kini kekal sebagai kejayaan terakhir Malaysia ke atas skuad Naga.

Dalam perlawanan berkenaan, China terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Li Fubao pada minit ke-55. Bagaimanapun, Malaysia bangkit menyamakan kedudukan menerusi Hassan Sani pada minit ke-61 sebelum James Wong meletakkan skuad negara di hadapan pada minit ke-77. Hassan Sani kemudian memastikan kemenangan 3-1 menerusi jaringan keduanya pada minit ke-84 untuk melengkapkan kebangkitan Harimau Malaya.

Weigang bukan calang-calang jurulatih apabila pernah membimbing Malaysia dari tahun 1979 hingga 1982. Beliau turut memainkan peranan penting membawa Harimau Malaya layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 selepas skuad negara berjaya melepasi pusingan kelayakan. Kejayaan tersebut menjadikan namanya antara jurulatih yang cukup dikenang dalam sejarah bola sepak Malaysia.

Bagaimanapun, tugas Cheng Hoe untuk mengulangi pencapaian itu pastinya bukan mudah. Biarpun China tewas tiga aksi terakhir mereka, memiliki kekuatan tersendiri dan perlawanan di gelanggang lawan bakal memberikan cabaran tambahan kepada skuad negara.

Namun, pertemuan ini juga menjadi peluang buat Cheng Hoe membuktikan kemampuan dirinya sebagai pengendali selain memberikan keyakinan kepada pemain untuk bersaing dengan pasukan yang mempunyai kedudukan ranking yang lebih tinggi.