Legenda Portugal, Cristiano Ronaldo menzahirkan sokongan kepada Arab Saudi selepas aksi Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) antara Al-Nassr dan Neftchi Fergana.
Aksi di Alawwal Park itu sepatutnya berlangsung pada jam 9.15 malam waktu tempatan. Meskipun begitu, The Guardian melaporkan perlawanan itu ditangguhkan selama sejam susulan amaran keselamatan di Riyadh.
Hal ini berlaku kerana serangan kumpulan Houthi terhadap Arab Saudi terutama di Riyadh. Konflik antara kedua-dua pihak kembali tercetus pada pertengahan tahun dengan situasi semakin tegang sejak September lalu.
Juruhebah stadium kemudiannya memaklumkan stadium dalam keadaan selamat dengan penyokong diminta kekal di tempat duduk. Meskipun begitu, perlawanan kemudiannya ditangguhkan selama sejam.
Insiden itu tidak menjejaskan fokus kedua-dua pasukan. Ronaldo kemudiannya membantu Al-Nassr meraih kemenangan 3-1.
Angelo Gabriel meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ke-33. Ronaldo menggandakan kelebihan Al-Alami sembilan minit selepas itu.
Alisher Odilov mengurangkan defisit gol pada minit ke-51. Gol sendiri Anvarjon Gofurov memulihkan kembali kelebihan dua gol Al-Nassr sehingga wisel penamat.
Neftchi turut beraksi dengan 10 pemain apabila Ikromzhon Alibaev dilayangkan kad merah pada minit ke-65. Aksi ini juga menampilkan bekas bek tengah Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Bojan Ciger yang kini mewakili kelab Uzbekistan itu.
Selepas perlawanan, Ronaldo menzahirkan kata-kata ini, “Saya orang Portugal tapi saya milik Arab Saudi.” Beliau turut mencium lambang negara itu sebelum menzahirkan penghargaan kepada penyokong yang hadir.
Ronaldo dilihat semakin hampir mencapai misi meraih 1,000 gol dalam kariernya. Beliau kini hanya memerlukan 19 gol lagi untuk mencapai sasaran berkenaan.