Malaysia berpeluang untuk meraih tambahan mata lumayan sekiranya melakar kemenangan ke atas China.
Pasukan kendalian Tan Cheng Hoe kini sudah berada di Guangzhou, China bagi persiapan terakhir pasukan, kira-kira 48 jam berbaki menjelang aksi bertemu China.
Berdasarkan anggaran kiraan ranking masa-nyata FIFA, Harimau Malaya berpotensi meraih tambahan kira-kira +6.31 mata sekiranya menewaskan China pada 14 November ini sekali gus mengumpul 1108. 40 mata dan naik ke tangga 132 dunia.
Keputusan seri pula masih menguntungkan skuad bimbingan Tan Cheng Hoe berdepan pasukan ke-96 dunia itu dengan anggaran meraih +1.31 mata (1103.40 mata) dan bakal naik satu anak tangga.
Sebaliknya, kekalahan akan menyaksikan Malaysia kehilangan kira-kira -3.69 mata. Kekalahan juga bakal menyebabkan ranking pasukan kebangsaan turun ke kedudukan 134 dunia dan mengumpul 1098.40 mata secara keseluruhan.
Malaysia kini berada pada ranking ke-133 dunia itu kini menduduki tangga ke-23 di Asia serta keempat di Asia Tenggara, di belakang Thailand (93), Vietnam (99) dan Indonesia (116).
Jarak dengan pasukan di atas Harimau Malaya sangat tipis. Congo di tangga ke-132 hanya mendahului dengan 0.37 mata, manakala Kuwait di tangga ke-134 cuma 3.45 mata di belakang.
China pula baru sahaja jatuh lima anak tangga ke kedudukan ke-96 dunia, ranking terendah mereka dalam tempoh sedekad. Mereka mencatat satu kemenangan dan tiga kekalahan dalam kejohanan jemputan di Chongqing, termasuk tewas 0-5 kepada Palestin. Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu, mereka terikat 1-1 di Chengdu pada September 2023.
Kekalahan kepada Malaysia bakal memberi tamparan hebat buat China apabila berdepan risiko kehilangan kira-kira -6.31 mata, sekali gus menyusutkan jumlah mata mereka daripada 1,241.90 kepada sekitar 1,235.59 mata. Kehilangan itu bakal menyaksikan pasukan ranking ke-96 dunia itu jatuh dua anak tangga ke kedudukan ke-98 selepas dipintas Bahrain (1,240.30) dan Mozambique (1,238.23).
Aksi berdepan Malaysia dijadual pada 14 November jam 8.00 malam menjadi perlawanan pembuka China. Pasukan tuan rumah kemudian menutup kejohanan dengan menentang Bahrain pada 17 November, juga jam 8 malam. Pada hari sama, Harimau Malaya akan bertemu Yaman seawal jam 2.00 petang.


