Malaysia bakal berdepan Yemen dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Guangzhou, China pada 17 November 2026.
Perkara itu disahkan menerusi kenyataan terbaharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 13 Oktober 2026 selepas menerima makluman daripada Persatuan Bola Sepak China (CFA) berhubung perubahan jadual perlawanan.
Berdasarkan jadual baharu tersebut, Harimau Malaya akan terlebih dahulu menentang China pada Sabtu, 14 November sebelum bertemu Yemen tiga hari kemudian.
Perubahan itu menyaksikan Malaysia tidak lagi dijadualkan berdepan China sebanyak dua kali seperti yang diumumkan sebelum ini oleh Presiden FAM, Dato’ Ab Ghani Hassan.
Sebelum ini, Ab Ghani mengesahkan bahawa Harimau Malaya akan beraksi menentang China pada 14 dan 17 November ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco FAM pada 29 September lalu.
Bagaimanapun, perkembangan terbaharu daripada CFA menyaksikan Yemen menjadi lawan kedua skuad kebangsaan dalam jendela antarabangsa FIFA bulan November ini.
Mengikut kemas kini ranking FIFA terkini, China berada di tangga ke-96 dunia, manakala Malaysia menduduki kedudukan ke-133 dan Yemen menghuni tangga ke-144.
Dua aksi persahabatan itu bakal menjadi medan buat Harimau Malaya mendapatkan pendedahan kompetitif di peringkat antarabangsa selain memperkukuh persiapan menghadapi cabaran akan datang.
FAM turut memaklumkan bahawa sebarang perkembangan lanjut daripada pihak CFA berhubung jadual perlawanan berkenaan akan diumumkan dari semasa ke semasa.