Malaysia Jumpa China Dua Kali November Ini
MakanBola
Malaysia NT

Malaysia sah akan berdepan China sebanyak dua kali dalam aksi persahabatan antarabangsa FIFA pada bulan November hadapan.

Perkara ini diumumkan dan disahkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Dato’ Ab Ghani Hassan ketika ditanya berkenaan pelan seterusnya skuad Harimau Malaya ketika jendela antarabangsa FIFA pada November ini.

“Jadi pada bulan November ini telah pun disahkan kita bakal mengadakan dua perlawanan berdepan skuad kebangsaan China di Guangzhou pada 14 dan 17 November,” umum Dato Ab Ghani Hassan semasa ditemui selepas Mesyuarat Exco FAM pada Selasa.

Pengumuman ini pastinya menjadi berita yang mengujakan buat peminat Harimau Malaya yang kini sedang bertarung di Indonesia dalam kempen FIFA ASEAN Cup dengan aksi terakhir Kumpulan A bakal berlangsung esok.

Kali terakhir Malaysia bertemu China adalah pada tahun 2024 lalu yang menyaksikan skuad Harimau Malaya yang dibimbing oleh Kim Pan-gon ketika itu terikat seri 1-1 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Phoenix Hill, Chengdu.

Faisal Halim meletakkan skuad Harimau Malaya di hadapan seawal minit ke-11, sebelum jaringan penyamaan oleh Li Liang Ming pada penghujung babak pertama memastikan China dan Malaysia terpaksa akur seri ketika itu.