Sekeping gambar lama dari sebuah akademi bola sepak di Kuala Lumpur kini menimbulkan tanda tanya, adakah Harimau Malaya bakal menerima seorang lagi pemain naturalisasi yang juga kawan kepada Mohamadou Sumareh?
Usaha memperkukuh skuad kebangsaan melalui pemain naturalisasi dan warisan terus menjadi topik hangat. Setiap kali nama baharu muncul, penyokong akan mencari kaitan pemain itu dengan Malaysia, sama ada melalui keturunan, tempoh menetap atau pengalaman membesar di negara ini. Calon terbaru ini nampaknya mempunyai kaitan yang jelas.
Penyerang FC Ural, Bertrand Fourrier, baru-baru ini berkongsi gambar lama dirinya bersama Mohamadou Sumareh semasa mereka di akademi KLYS. Dalam hantaram Instagram Storynya itu, Fourrier menandakan akaun Sumareh, membulatkan kedua-dua mereka dalam gambar dan menulis “reunited soon?” bersama emoji ketawa.
Gambar itu menunjukkan sekumpulan pemain muda berjersi oren meraikan kejayaan dengan beberapa trofi, dan Jalur Gemilang dibentangkan di hadapan mereka.
Menurut Harimau Abroad, Sumareh bukan satu-satunya kenalan lamanya di akademi itu. Pemain berusia 29 tahun itu turut berlatih bersama pemain tengah Athlone Town, Callum Cleary, dan pertahanan Reading City, Liam Baker ketika di KLYS.
Lebih menarik, penyerang kelahiran Douala, Cameroon itu fasih berbahasa Melayu. Beliau juga mengesahkan kepada @aryapradanab bahawa kini beliau sedang mengumpul dokumen untuk proses naturalisasi supaya boleh bermain untuk Malaysia.
Di Rusia, prestasinya juga memberangsangkan. tonggak berusia 29 tahun itu menyertai Ural dari kelab Bulgaria, Septemvri Sofia, secara tetap pada Julai 2026. Dalam saingan FNL (Liga Pertama Rusia) musim 2026/27, Fourrier sudah membuat 14 penampilan dan menjaringkan lima gol.
Sebelum ke Rusia, bekas penyerang Septemvri Sofia itu sudah menunjukkan ketajamannya di Bulgaria. Pada musim 2025/26, Fourrier mencatat 13 gol dalam 36 penampilan liga. Kerjaya awalnya pula bermula di Perancis. Beliau melalui akademi Marseille dan Nice sebelum bermain untuk beberapa kelab seperti Martigues, Aubagne, Le Puy, Moulins Yzeure dan Toulon.
Pemain berdarah Perancis ini kontraknya bersama Ural berlangsung hingga 30 Jun 2028 dan kini mencapai kemuncak prestasi apabila kerap menjaringkan gol di liga Eropah.
Proses naturalisasi masih panjang dan banyak perkara perlu diselesaikan sebelum impian itu menjadi kenyataan. Namun begitu, jika semuanya berjalan lancar, ungkapan “reunited soon?” itu mungkin bukan sekadar gurauan.
Setakat ini, masih belum ada pengesahan rasmi daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung status Fourrier bersama Harimau Malaya.


