Penyerang kelab Ural FC yang beraksi di Rusia, Bertrand Fourrier menyimpan impian besar untuk menyarung jersi Harimau Malaya suatu hari nanti.
Pemain kelahiran Cameroon itu tidak menyembunyikan hasratnya untuk mewakili Malaysia di pentas antarabangsa selepas pernah menetap di negara ini selama lima tahun suatu ketika dahulu.
Perkara itu dikongsikan oleh wartawan Indonesia yang kini menetap di Rusia, Arya Pradana Budiarto menerusi satu ciapan di laman X. Menerusi perkongsian tersebut, Arya memaklumkan bahawa Fourrier mempunyai keinginan untuk menyertai skuad kebangsaan Malaysia secepat mungkin.
“Fourrier pernah menetap di Malaysia selama lima tahun dan dia sangat mengimpikan peluang untuk mewakili Harimau Malaya. Dia juga berharap dapat menyertai pasukan kebangsaan Malaysia secepat mungkin,” menurut perkongsian Arya di laman X.
Untuk rekod, Fourrier kini bersama Ural FC yang beraksi dalam saingan divisyen kedua bola sepak Rusia. Penyerang itu turut mempamerkan prestasi memberangsangkan apabila berjaya meledak lima gol dalam 14 penampilan setakat ini, sekali gus membuktikan ketajamannya di hadapan gawang lawan.
Hasrat pemain itu pastinya menarik perhatian peminat bola sepak tempatan, lebih-lebih lagi ketika Harimau Malaya terus mencari pilihan pemain berkualiti bagi memperkukuhkan skuad kebangsaan.
Fourrier dikatakan pernah menetap di Malaysia ketika berusia sembilan hingga 13 tahun dan dikatakan membolehkannya memenuhi syarat kelayakan FIFA untuk mewakili pasukan kebangsaan Malaysia. Sekiranya perkara tersebut disahkan dan semua syarat berkaitan dipenuhi, impian Bertrand Fourrier untuk menyarung jersi Harimau Malaya berpotensi menjadi kenyataan.


