Harimau Malaya

Keputusan Luar Jangka, Shukor Adan Tuntut Malaysia B-16 Bangkit

Shukor FA Malaysia 9 Keputusan Luar Jangka, Shukor Adan Tuntut Malaysia B-16 Bangkit
FA Malaysia
Advertisements

Ketua Jurulatih Malaysia B-16, Shukor Adan belum berpuas hati dengan prestasi pasukan kendaliannya selepas keputusan luar jangka pada aksi pertama.

Skuad remaja kebangsaan berdepan tugas berat menjelang perlawanan kedua Kumpulan E, Kelayakan Piala Asia B-17 2027 susulan tewas di tangan Palestin.

Hasrat untuk meraih kemenangan sulung di laman sendiri tidak tercapai, selepas pasukan Asia Barat itu cemerlang melakar kemenangan 2-0 ke atas skuad remaja kebangsaan pada aksi yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Menurut Shukor, beliau kecewa kerana anak buahnya gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri, walaupun pelan permainan telah disusun dengan jelas sebelum sepak mula.

“Daripada segi keputusan, perit untuk kita terima. Kita tewas 2-0 kepada Palestin. Perancangan awal adalah untuk kita pecahkan struktur permainan pasukan lawan.

“Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa, cuma dari sudut barisan kejurulatihan, kita beraksi di laman sendiri dan memiliki peluang yang jelas untuk menjaringkan gol,” katanya selepas perlawanan.

Pengendali berusia 48 tahun itu bagaimanapun melihat sisi positif, terutamanya tempoh rehat yang agak panjang sebelum berdepan Singapura, yang boleh dimanfaatkan untuk membaiki kelemahan serta memulihkan semangat pemain meskipun mengakui kekalahan itu sukar diterima.

“Tiada apa yang melegakan dalam kejohanan seperti ini (rehat panjang menjelang aksi kedua) kerana kita tewas aksi ini.

“Apa yang penting adalah bagaimana kita ingin memotivasikan para pemain untuk kembali bangkit sebab mereka pun percaya pada perlawanan ini, para pemain sepatutnya memperoleh tiga mata tetapi keputusan sebaliknya,” tambahnya lagi.

Aksi diteruskan dengan pertemuan menentang Singapura pada Sabtu, 14 November 2026, Guam pada Selasa, 17 November 2026 dan India pada Jumaat, 20 November 2026.

Kesemua perlawanan membabitkan pasukan Malaysia itu akan berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, sepak mula jam 9:00 malam.

Tujuh pasukan juara kumpulan (A hingga G) akan layak ke Piala Asia B-17 2027 di Uzbekistan pada Mei 2027 bersama sembilan pasukan lain yang telah pun layak secara automatik iaitu tuan rumah, Uzbekistan, tuan rumah Piala Dunia B-17, Qatar serta tujuh pasukan terbaik Piala Asia B-17 2026 – Jepun, China, Australia, Republik Korea, Arab Saudi, Tajikistan dan Vietnam.