Bintang muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Daniesh Amirruddin menyertai kontinjen pasukan itu yang berangkat ke Korea Selatan untuk kempen Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).
Kelibat pemain sayap berusia 20 tahun itu dikesan dalam siri foto yang dikongsikan pengurusan JDT di platform Johor Southern Tigers.
Nama Daniesh menjadi bualan peminat JDT selepas mempamerkan impak segera dalam saingan Piala FA dan Shopee Cup. Anak jati Merlimau, Melaka itu meledakkan gol buat JDT ketika menentang UM Damansara dan PKR Svay Rieng.
Hal ini menunjukkan jurulatih Harimau Selatan, Xisco Munoz melihat Daniesh sebagai permata baharu pasukan dan patut diberi lebih banyak peluang bersama skuad utama.
Rombongan JDT berangkat ke Korea Selatan selepas selesai mengharungi aksi suku akhir kedua Piala FA menentang Penang FC. Aksi itu menyaksikan JDT mara ke separuh akhir dengan agregat 11-3.
Selepas diikat Buriram United di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada September lalu, Harimau Selatan berharap dapat meraih kemenangan pertama ACLE bila bertemu kelab Korea, Pohang Steelers.
Kedua-dua pasukan bakal bertemu di Pohang Steelyard pada 13 Oktober ini.